Mahu Menteri Besar Kedah dijadikan contoh

KUALA LUMPUR – Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) memuji Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir kerana memberi jaminan tidak akan memberi projek perniagaan di Kedah kepada anggota keluarganya.

Pengerusinya, Datuk Johan Jaaffar berkata, jaminan yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana Menteri Besar menunjukkan Mukhriz seorang pemimpin yang mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan keluarga.

“Kami mengalu-ngalukan kenyataan Menteri Besar Kedah yang memberi jaminan tidak akan mempertimbangkan sebarang projek perniagaan kepada ahli keluarganya.

“Ini kenyataan terbuka yang pertama dibuat oleh mana-mana Menteri Besar atau Ketua Menteri berhubung pemberian projek perniagaan kepada anggota keluarga terdekat,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Justeru Johan menggesa Menteri Besar dan Ketua Menteri setiap negeri mencontohi kewibawaan Menteri Besar Kedah dalam membuktikan ketelusan mereka untuk berkhidmat kepada rakyat.

Sehubungan itu, katanya, PPPR juga mencadangkan supaya kenyataan dan jaminan seperti itu turut dilaksanakan diperingkat Kabinet.

Ia kerana, katanya, tindakan Mukhriz itu selaras dengan cadangan PPPR sebelum ini supaya semua anggota pentadbiran kerajaan di peringkat Pusat dan negeri tidak melibatkan diri dalam permohonan kontrak kerajaan.

Jelas beliau, langkah itu bagi mengelakkan berlaku konflik kepentingan dan menutup ruang dan peluang bagi sebarang perlakuan rasuah yang merosakkan negara.

“Kami juga pernah mencadangkan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri mengisytiharkan harta setiap tahun kepada SPRM bagi membuktikan komitmen mereka terhadap perang melawan rasuah.

“Mereka bukan sahaja harus berbuat demikian sebelum menjawat jawatan tetapi juga setelah setiap tahun semasa menjawat jawatan. Tidak ada pengecualian dalam hal ini,” katanya lagi.

Media semalam melaporkan Mukhriz memberi jaminan beliau tidak akan memberi projek perniagaan di negeri ini kepada anggota keluarganya.

Mukhriz dipetik sebagai berkata, beliau mahu mengelakkan keadaan yang boleh menimbulkan konflik kepentingan kepada dirinya jika ada anggota keluarganya mendapat projek perniagaan di negeri ini.