Mukhiz mahu bangunkan kawasan sempadan Kedah

ALOR SETAR 14 Ogos - Kerajaan negeri Kedah yang diterajui Barisan Nasional (BN) berminat untuk mengeksploitasi potensi daerah yang bersempadan dengan Thailand dan Pulau Pinang untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri yang terkenal dengan jolokan “Jelapang Padi" Malaysia.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, kerajaan negeri berharap projek Kota Putra dalam daerah Padang Terap dan Kota Perdana Bukit Kayu Hitam dalam daerah Kubang Pasu, yang kedua-duanya terletak di sebelah utara Kedah, bersempadan dengan Thailand, akan menggunakan hubungan dengan kawasan sempadan Thailand sebagai sumber pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata daerah berkenaan boleh membangunkan projek tarikan pelancong untuk mengambil peluang kedatangan pelawat dari Thailand yang mengunjungi negara ini.

"Kenderaan yang masuk dari Thailand (kebiasaannya) akan terus ke Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Johor dan tidak singgah pun di Kedah.

"Saya harap kita boleh melakukan sesuatu untuk mewujudkan aktiviti seperti pusat membeli-belah yang menarik bagi mereka supaya ada barang-barang yang boleh dibeli di negeri ini," kata pemberita pada sidang media di sini sempena 100 hari sebagai Menteri Besar Kedah.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri juga bercadang untuk mewujudkan satu hab logistik di utara Kedah untuk mengumpul dan mengedar produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dari negeri ini ke seluruh negara dan Thailand.

Katanya terdapat juga peluang untuk membawa masuk produk dari Thailand ke hab logistik itu untuk ditambah nilai supaya memenuhi piawaian halal dan mendapat sijil halal Malaysia untuk pasaran Malaysia dan dieksport semula.

"Saya rasa cadangan itu adalah cadangan yang baik dan kita sedang kaji buat masa ini." "Aktiviti ini saya lihat akan memberi kesan di sebelah utara Kedah untuk mengalami satu fasa pertumbuhan yang pesat dalam sektor-sektor yang berlainan dari sebelah selatan Kedah," katanya.

Antara kawasan yang terkenal di utara Kedah ialah kompleks membeli belah bebas cukai Bukit Kayu Hitam yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand manakala di selatan negeri itu lebih dikenali dengan kewujudan kawasan perindustrian Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP). 

Sementara itu, Mukhriz berkata kawasan di selatan yang merangkumi Sungai Petani dan Kulim banyak menerima tempias kepesatan pembangunan dari Pulau Pinang.

Beliau berkata hubungan antara daerah-daerah itu dengan Pulau Pinang diibaratkan seperti Johor dan Singapura.

"(Dalam hubungan ini) saya berazam untuk membangunkan selatan Kedah dengan mengambil lebih banyak kesempatan daripada Pulau Pinang," katanya.

Katanya, antara lain, lebih banyak perancangan ditujukan untuk memperbanyakkan aktiviti riadah yang boleh menarik kehadiran warga Pulau Pinang, terutamanya pada hujung minggu. - BERNAMA