Siapa bantu mangsa kebakaran di Pendang?

PENDANG - Nasib malang sebuah keluarga penoreh getah dari Kampung Paya Mat Inson di sini yang tinggal sehelai sepinggang ekoran rumah mereka hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran Sabtu lepas mendapat perhatian daripada kerajaan negeri.

Kebakaran kira-kira pukul 1 tengah hari itu menyebabkan Lee Ah Kai, 58, dan isterinya, D. Prim, 52, bersama enam anak dan seorang cucu kini terpaksa berteduh di dalam khemah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob yang melawat keluarga berkenaan hari ini berjanji akan memberi bantuan segera kepada keluarga tersebut bagi meringankan beban ditanggung mereka.

Beliau berkata, bantuan kewangan itu bagi membantu keluarga berkenaan membaik pulih rumah mereka.

"Kita tidak dapat memberikan sebuah rumah baharu untuk keluarga ini tetapi dapat menghulurkan bantuan kewangan kepada mereka untuk membaik pulih rumah yang rosak. Selain itu kami juga akan memberikan bantuan persekolahan kepada anak dan cucu mangsa," katanya.

Sementara itu Ah Kai berkata, ketika kejadian dia bersama keluarga berada di Sik, dekat sini untuk upacara keagamaan dan hanya mengetahui kejadian itu setelah mendapat panggilan daripada jiran.

Katanya, dia bergegas pulang dan amat terkejut serta hiba apabila melihat rumah mereka musnah dijilat api.

"Jiran saya hanya sempat menyelamatkan sebuah motosikal dan kereta manakala kelengkapan rumah yang lain tidak dapat diselamatkan," katanya.

Menurut Ah Kai, dia sendiri tidak mengetahui punca yang menyebabkan rumah yang didiami sejak hampir 30 tahun lalu itu terbakar.

Katanya, akibat kejadian berkenaan, keluarganya menanggung kerugian kira-kira RM50,000 dan berharap ada pihak yang bersimpati dengan mereka agar rumah yang musnah itu dapat dibina semula.

"Saya berasa lega apabila ramai jiran yang membantu dengan memberikan sumbangan, malah mereka juga yang membina khemah untuk kami berteduh. Kami sekeluarga amat sayangkan rumah ini dan tidak mahu berpindah ke tempat lain," katanya. -Utusan