Suami belasah isteri serah diri

Selepas tiga hari video aksinya membelasah isteri dalam lif sebuah hospital swasta di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang tersebar, suspek akhirnya menyerah diri di Balai Polis Kuantan, di sini, petang tadi.

Suspek berusia 36 tahun itu menyerah diri kira-kira jam 4.30 petang selepas menyedari video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan aksinya memukul dan membelasah isterinya tersebar dan menjadi tajuk utama berita, malam semalam.

Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek menafikan bersembunyi, sebaliknya tidak mengetahui video berkenaan tersebar hingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

"Suspek datang seorang diri dan ketika disoal siasat, dia memberitahu baru mengetahui menjadi buruan polis selepas menonton berita televisyen malam semalam dan bertindak menyerah diri petang tadi.

"Malah, suspek mendakwa dia bertindak demikian apabila isterinya menghasut supaya anak-anak tidak mengikutnya selepas melawat anak sulung mereka yang dirawat di hospital berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, suspek ditahan sementara di lokap balai polis berkenaan sebelum dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk tindakan lanjut memandangkan kes berkenaan berlaku di negeri itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan setahun atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff mengesahkan penahanan suspek.- Metro