Tajudin mahu bangunkan rakyat Kedah

ALOR SETAR - Empat teras pembangunan menjadi tumpuan kerajaan negeri bagi meningkatkan taraf hidup dan keselesaan penduduk di kawasan luar bandar selaras dengan Aku Janji Barisan Nasional (BN) Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, tumpuan itu melibatkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas, modal insan, ekonomi serta institusi.

Katanya, perancangan pembangunan itu akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh lima tahun sehingga 2018 melibatkan semua 12 daerah di Kedah.

"Saya akan turun padang bertemu penduduk bagi mendapatkan pandangan selain memantau perkembangan projek yang dirancang itu sehingga siap," katanya di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Tajuddin, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas antaranya melibatkan perhubungan jalan raya, bekalan air dan elektrik, tadika, rumah ibadat, sekolah, klinik kesihatan serta pelancongan.

Kata beliau, pembangunan modal insan berkaitan dengan aspek penerapan pelbagai latihan kemahiran kepada penduduk di luar bandar manakala pembangunan ekonomi bagi mempertingkatkan pendapatan isi rumah menerusi pelbagai projek pertanian, ternakan dan industri kecil.

"Pembangunan institusi pula adalah seperti penubuhan lebih banyak Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bagi kemudahan penduduk mendapatkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung," katanya.

Tambahnya, projek pembangunan itu memerlukan kerjasama rapat semua pihak seperti Kementerian Luar Bandar dan Wilayah serta agensi kerajaan negeri termasuk pejabat daerah, Unit Pembangunan Ekonomi Negeri, penghulu serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung selain Universiti Utara Malaysia (UUM).

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik berkata, pihaknya turut mengalukan penglibatan sektor swasta yang mahu menunaikan tanggungjawab sosial mereka seperti Lembaga Tabung Haji, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB). -Utusan