Azeez Rahim dicabar Pak Lang Mie di Baling

Jawatan Ketua UMNO Bahagian Baling menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara penyandang, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Datuk Azmi Che Husin dalam pemilihan parti bulan depan.

Pertembungan dua penjuru itu ekoran penarikan diri seorang lagi calon, Nasri Baharom semalam.

Dalam pada itu Azmi berkata, beliau menawarkan diri untuk bertanding demi perjuangan politik UMNO agar sentiasa relevan dan berdiri teguh membela nasib negara, bangsa dan agama.

“Kerana permintaan akar umbi juga saya yakin untuk bertanding kerana mereka mahukan perubahan dari segi kepimpinan," katanya ketika ditemui di pejabat ADUN Bayu di sini hari ini.

Menurut Azmi, beliau juga berhasrat meninggalkan UMNO kepada generasi akan datang sebagai sebuah parti Melayu yang kuat dan tidak mahu budaya yes man atau ‘angguk kepala’ menjadi sebati dalam kalangan ahli-ahlinya.

“Kita perlu melatih diri sendiri dan juga ahli-ahli UMNO dengan semangat juang yang tinggi dengan memberikan kekuatan dengan cara yang tersendiri kepada akar umbi," kata Azmi.

Sementara itu, Pengerusi Kedai Kain Rakyat 1Malaysia, Mohd. Noor Mohd Amin yang bertanding jawatan Exco Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling turut menjelaskan, beliau menawarkan diri bertanding adalah demi agama, bangsa dan negara.

“Saya terpanggil untuk bertanding bagi mewakili anak muda di luar bandar dengan hala tuju untuk menyeimbangkan pegangan di dunia dan akhirat kerana golongan muda memerlukan akhlak yang baik sebagai pemimpin masa depan," katanya.