Masih merah tanah kubur Ustaz Azizan, Pemuda PAS sebok mahu berpolitik

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) bertekad akan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Rayanya, Mohd. Sany Hamzan berkata, pihaknya berada dalam keadaan siap sedia untuk memastikan kemenangan calon PAS yang bakal bertanding mempertahankan kerusi tersebut.

“Jabatan Pilihan Raya DPPM dengan ini mengisytiharkan kebersediaan dan kesiapsiagaan pemuda PAS di semua peringkat untuk memastikan kemenangan calon PAS yang akan mewakili pakatan bagi kerusi DUN Sungai Limau apabila diumumkan pilihan raya kecil nanti.

“Sesungguhnya kemenangan yang akan dicapai di dalam pilihan raya kecil itu nanti akan menjadi sumbangan kecil pemuda untuk menghargai segala jerit perih perjuangan Azizan selama ini,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Sany berkata, Jabatan Pilihan Raya DPPM mengarahkan semua jentera pemuda PAS di semua peringkat supaya melakukan persediaan terakhir.

Persiapan itu termasuk dari aspek dana dan persiapan teknikal bagi membantu jentera Badan Perhubungan PAS Kedah dalam misi mempertahankan maruah PAS di DUN Sungai Limau.