BN bakal cadang 3 nama untuk kalahkan calon DAP-PAS-PKR di Sungai Limau

ALOR SETAR – BN Kedah akan mencadangkan tiga nama kepada pucuk pimpinan parti untuk dipilih sebagai calon pilihan raya kecil (PRK) kawasan Dun Sungai Limau.

Menteri Besarnya, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, individu yang akan dicadangkan mesti mempunyai ciri-ciri kelayakan tertentu terutama memenuhi kehendak pengundi di kawasan itu.

“Tiga calon yang akan kami cadangkan mesti ada pendidikan agama dan anak tempatan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Perhubungan Umno Negeri membincangkan persiapan PRK Sungai Limau di sini, malam tadi.

PRK kawasan DUN Sungai Limau bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya bekas Pesuruhjaya Pas Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak 26 September lepas.

Pada PRU13 Mei lepas, Azizan yang juga bekas Menteri Besar Kedah memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya, Mohd Fazillah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.

Mukhriz yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah berkata, BN perlu bekerja keras dan menunjukkan kesungguhan untuk membangunkan kawasan itu dengan menyakinkan penduduknya tentang keikhlasan kerajaan negeri jika mahu menawan Sungai Limau.

Tambahnya lagi, kira-kira 40 peratus daripada 27,287 pengundi Sungai Limau adalah golongan muda dengan Melayu seramai 25,388 orang.

BN yakin mereka (golongan muda) mahukan pembangunan dan lebih banyak peluang pekerjaan diadakan, katanya.

Pada mesyuarat malam tadi, Mukhriz berkata, beberapa jawatankuasa khas bagi menghadapi PRK Sungai Limau ditubuhkan untuk menggerakkan jentera dan kempen BN agar berjalan lancar termasuk penempatan negeri dan bahagian-bahagian angkat di 19 pusat daerah mengundi dalam Dun itu. – BERNAMA