Mejar TUDM didakwa cuba seludup pistol masuk US

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan seorang pegawainya ditahan pihak berkuasa Amerika Syarikat pada 16 April lepas kerana didakwa cuba membawa keluar senjata api jenis pistol PT-22 Taurus.

Menurut kenyataan TUDM hari ini, pegawai itu ditahan ketika dijadual akan berlepas dari Lapangan Terbang San Angelo, Amerika Syarikat ke tanah air setelah menamatkan kursus di GoodFellow Air Force Base yang dihadiri sejak 5 Januari lalu.

“Beliau kini di bawah tahanan pihak polis Texas dan dijangka dibicarakan di mahkamah pada 21 April ini.

“Pihak TUDM sedang mengikuti perkembangan kes ini dengan terperinci bagi tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu.

SEMENTARA itu menurut pegawai Pengurusan Sekuriti Pengangkutan (TSA), ketika memeriksa bagasi Mejar, mesin pengimbas x-ray mengesan sesuatu dan mendapati ada sebuah kotak yang tidak dapat dikesan kandungannya.

Pegawai TSA membuka kotak tersebut mendapati ada satu beg plastik tersisip di dalam bekas ais berisi komponen pemegang pistol jenis Taurus, PT-22, .22 kaliber berserta lapan peluru hidup.

Semasa membuat pemeriksaan bagasi, mereka menemui laras pistol yang dililit bersama pembuka gabus dan pembuka tin menggunakan pita pelekat.

Lebihan komponen pistol itu ditemui di dalam sebuah kotak besi dalam beg yang sama.

Mejar yang sudah berada di dalam pesawat dibawa keluar anggota Polis San Angelo dan pegawai TSA untuk soal siasat.

Menurut pasukan siasatan, Mejar tersebut berbuat demikian bagi mengelak dikesan penguat kuasa jika tiba di Malaysia.

Pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri berkata, Mejar datang ke Amerika secara sah dengan menggunakan Visa Diplomatik Bukan Imigran sejak 5 Januari 2014.

Tujuan Mejar ke sana bagi menyertai latihan di Kem Tentera Udara Goodfellow.

Mejar dipercayai membeli pistol tersebut di sebuah pertunjukkan senjata api di Sweetwater di Texas.
Jika didapati bersalah, Mejar itu akan dipenjara 10 tahun kerana cuba menyeludup senjata. 

Dia kini dipindahkan ke Pusat Tahanan di Lubbock, Jumaat lepas.