Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata tindakan
beliau menarik balik surat perletakan jawatan dalam parti dibuat
selepas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak memohon maaf kepada
beliau, menurut laporan The Malaysian Insider.
Dalam satu sidang media di kediamannya di Kemaman,
Ahmad berkata tindakan itu berpunca dari salah faham berhubung tarikh
perkahwinan anak perempuannya yang akan berlangsung 17 Mei depan.
“Kami saling meminta maaf… Perdana Menteri ingat 10 Mei sudah
selesai (perkahwinan anak), tetapi masih ada lagi (majlis) pada 17 Mei.
“Ini melibatkan maruah, saya meletakkan jawatan. Dan akhirnya
sebagai pemimpin besar Perdana Menteri juga akui sama ada sedar atau
tidak,” katanya yang sempat menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas selama dua hari selepas menarik balik surat berkenaan.
Ahmad turut berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri yang
meletakkan jawatan turut melakukan tindakan sama kembali kepada UMNO.
Beliau akan memberi sokongan penuh kepada penggantinya, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata beliau akan membantu Ahmad Razif selagi berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Saya akan jaga kawasan Kemaman dan kawasan saya. Kalau dulu saya
jaga seluruh negeri, sekarang saya jaga Kemamanlah. Saya akan bantu,”
kata Ahmad.
Ahmad, 57, berkata beliau akan terus berbakti kepada Umno
bersandarkan penglibatannya yang cukup lama dalam parti itu, sejak
berusia 19 tahun.
“Saya akan bantu. Anda bayangkan masa dulu kita kalah (dalam
pemerintahan PAS 1999-2004), saya jelajah satu negeri untuk memenangkan
Umno, beri ceramah siang malam,” katanya.
Mengenai tanggapan sesetengah pihak yang melihatnya sebagai
pengkhianat Umno, Ahmad menegaskan: “Soal pengkhianat tak timbul. Ini
soal perjuangan…kerana sayangkan Umno saya kembali semula. Kalau saya
pengkhianat, lama dah saya bergabung dengan PAS.”
Beliau mendakwa ada didatangi beberapa anggota PAS yang memujuknya menyertai parti itu, namun menolak pelawaan berkenaan.
Terengganu menjadi tumpuan apabila Ahmad dilaporkan keluar Umno selepas meletak jawatan menteri besar, Isnin lepas.
Pada hari yang sama, Ahmad Razif mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu.
Susulan itu, ADUN Ajil Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi Roslee Daud juga dilaporkan keluar Umno dan menjadi wakil Bebas.
Bagaimanapun Roslee dilaporkan telah kembali kepada Umno pada Selasa, disusuli Ahmad dan Ghazali Rabu.
Sumber: MYNEWSHUB.MY