Bil-bil surau jadi NEGATIF dibayar "hamba Allah"?

Tersebar luas di laman media sosial mengenai bil elektrik dan air sebuah surau di Taman Alamanda di Senawang, Negeri Sembilan yang tertera jumlah pembayaran negatif, RM - 435.27 untuk bil elektrik dan RM -88.00 untuk bil bekalan air.

Bil-bil berkenaan menandakan pembayaran bil berkenaan telah dijelaskan berlebihan dari jumlah yang sepatutnya dibayar oleh jawatankuasa surau taman perumahan tersebut.

Menariknya, difahamkan bahawa tiada sesiapa pun di kalangan ahli jawatankuasa surau terbabit yang mengetahui tentang bil-bil utiliti itu sudah dibayar dan mereka hanya sedar mengenainya apabila menerima bil yang terbaru, baru-baru ini.

Persoalan mula tercetus, siapakah individu atau pihak yang membayar bil-bil tersebut? Dan persoalan itu masih tidak terjawab sehingga hari ini.

Apapun, pihak KedahNews.com mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak yang telah berbudi, membayar bil berkenaan. Sesungguhnya, sumbangan ikhlas tersebut mencerminkan keikhlasan si pembayarnya. Semoga Allah SWT limpahnya rahmatNya pada beliau.

"Tangan kanan yang memberi, tangan kiri langsung tidak tahu" begitulah perumpamaannya dan Islam sesungguhnya memang menganjurkan cara sedekah yang sedemikian.

Cuma KedahNews.com tertanya-tanya, bilakah golongan-golongan berada seluruh negara, khususnya di negeri Kedah ini akan bertindak sebagaimana insan ikhlas di Negeri Sembilan itu? 

Rasanya jika 100 orang-orang kaya di Kedah memberikan sumbangan seperti itu secara diam-diam, nescaya rumah-rumah ibadat umat Islam pasti bertambah imarah dan diberkati Allah SWT, bukan? 

Apatah lagi Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang amat tinggi bagi yang menderma sebegitu ikhlas dan KedahNews.com yakin, Allah SWT juga tidak akan mempapakan pihak berkenaan sehingga ke akhirnya. Wallahualam. -KedahNews.com