PAS marah Nabi Bux mengaku ahli, tuduh dia ahli UMNO?

PAS akan mengambil tindakan undang-undang berhubung kenyataan Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abd Satar yang mengaku sebagai ahli parti itu.

Mohamed Nabi Bux yang mendakwa dirinya bekas Setiausaha PAS Cawangan Kampung Banjar telah menawarkan diri untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei nanti.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar yang dihubungi Harakahdaily berkata, pencarian telah dilakukan dan mendapati nama Mohamed Nabi Bux tidak terkandung di dalam sistem keahlian PAS.

"Dakwa sebagai ahli PAS adalah pembohongan semata-mata dan melalui carian yang dilakukan, kita mendapati beliau merupakan ahli Umno.

"Kita akan mendapat nasihat dari peguam untuk tindakan undang-undang berhubung pengakuan palsu yang menjejaskan imej PAS," jelas beliau.

Carian turut mendapati, Mohamed Nabi Bux yang memegang nombor ahli 2700360 merupakan ahli Umno Cawangan Kampung Banjar.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menegaskan PAS memandang serius kesalahan tersebut yang merupakan kesalahan jenayah.

"Pengakuan palsu itu bertujuan untuk memecah belah PAS di dalam Pakatan Rakyat dan ia merupakan satu kesalahan jenayah.

"Tindakan itu bukan sahaja menjatuhkan maruah PAS tetapi turut mengelirukan ahli-ahli PAS dan juga rakan kita dalam Pakatan Rakyat," sambung beliau.

Mahfuz turut memberitahu perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat esok untuk tindakan selanjutnya. - HARAKAHDAILY