#PRKTelukIntan: PAS tetap sokong walau Dyana Sofya tolak hudud

CALON parti DAP untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud telah membuat kenyataan bahawa parti DAP tidak menerima untuk hukum hudud dilaksanakan di negara ini.

Menjelang hari penamaan calon esok, satu video dimuatnaik di laman YouTube melalui kini.tv menunjukkan Dyana Sofya menyatakan bahawa parti DAP tidak menolak hudud tetapi menolak perlaksanaannya.

“Kami tidak menentang hudud, cuma perlaksanaan hudud di dalam negara yang berbilang bangsa dan kaum tidak sesuai dan kita perlu memberi fokus kepada banyak perkara lain seperti reformasi sistem kehakiman,” katanya dalam temubual itu.

Sudahpun terang lagi bersuluh, beberapa pihak dari PAS yang dilihat begitu komited untuk melaksanakan Hudud di Kelantan tetapu juga menyuarakan sokongan kepada Dyana Sofya dan DAP yang jelas menolak perlaksanaannya.

Dalam satu tweet oleh Timbalan Setiausaha Agung PAS Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata pihaknya dan PAS menyokong pertandingan beliau di kawasan parlimen itu.


“Selamat bertanding Dyana, anda memperolehi sokongan penuh dari kami di PAS.. Mari kita ubah corak politik rasis dan membinasakan yang dipraktikkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN),” katanya dalam tweet berkenaan pagi tadi.
 
TweetPAS_1

Tweet Dr Syed Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Burok, Kuala Terengganu turut disokong beberapa penyokong PAS yang disifatkan hanya mengikut sahaja apa yang dilakukan oleh tokoh politik mereka.

“Saya menyokong penuh anda, teruskan dan jangan pandang belakang,” kata penyokong dengan akaun twitter @cikgufauzi.

TweetPAS_2 
Hari penamaan calon bagi PRK itu akan berlangsung esok dan hari pengundian ditetapkan pada 31 Mei depan.

Dyana Sofya bakal berdepan calon Barisan Nasional (BN) iaitu Presiden Parti Gerakan Datuk Mah Siew Kong. – MYNEWSHUB.MY