Baru-baru ini bekas Pengarah Urusetia
Penerangan PAS Kedah, Zulkifli Yahya menulis di laman lidah rasmi PAS,
Harakahdaily, dengan menyenaraikan 20 perkara yang kononnya disifatkan sebagai
kegagalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah mentadbir negeri itu.
Mungkin ketandusan modal untuk menyerang
pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Mukhriz Tun
Mahathir yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Kedah, penulis
mengandaikan senarai tersebut boleh disifatkan “separuh masak” dan teguran yang
tidak membina sama sekali.
Justeru itu, sewajarnya penulis menjawab satu
persatu tentang 20 perkara yang disenaraikan Zulkifli itu secara adil, berfakta
dan tanpa rasa prejudis.
1. GAGAL
menguruskan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) dengan baik sekalipun kampus induk
dan segala kemudahan yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu begitu baik
sekali. Sekejap arah berpindah ke kampus asal yang sempit di Mergong dan
sekejap berpindah balik ke kampus induk. Kakitangan dan pelajar yang jadi
mangsa.
Di atas adalah perkara pertama yang diajukan
Zulkifli dalam cubaannya memburukkan nama Kerajaan BN Negeri Kedah di mata
rakyat. Dia memberi fokus terhadap masalah Kolej Universiti Insaniah (KUIN)
yang kononnya tidak ditadbir dengan baik di bawah BN.
Zulkifli mungkin lupa atau pura-pura “hilang
ingatan” mengenai beberapa siri demonstrasi yang membabitkan pelajar KUIN atas
ketidakpuasan hati mereka dengan urustadbir institusi pengajian tinggi di bawah
Kerajaan PAS Kedah dulu. Hasilnya, beberapa orang pelajar dikenakan tindakan
disiplin dan ada pula yang digantung pengajiannya.
Bukan setakat pelajar saja, malah kakitangan
KUIN pun turut mengadakan banyak siri demonstrasi dan berceramah siang malam
menceritakan kepincangan pentadbiran KUIN di bawah PAS. Memprotes ekoran periuk
nasi mereka yang dizalimi, rayuan yang tidak dilayan oleh “boss-boss” Zulkifli
dan rasa tersepit, mereka “berpatah arang” serta menghentam Kerajaan PAS Kedah
terang-terangan.
Apakah Zulkifli lupa pada “Bersih KUIN”, “BeritaKuin.blogspot.com”,
para pelajar dan kakitangan KUIN yang memberontak ketika PAS mentadbir Kedah
dulu? Sehingga Pilihanraya Umum ke-13 berlangsung, mereka bertali arus
menghentam PAS Kedah. Apakah itu yang dimaksudkan Zulkifli sebagai “PAS
meninggalkan KUIN dalam keadaan terbaik”?
Juga jangan lupa dengan hutang RM300 juta
peninggalan PAS Kedah kepada Kerajaan BN Kedah untuk membina “kampus tak siap”
di Kuala Ketil! Apakah itu akaun terbaik KUIN yang ditinggalkan PAS setelah
menjajah Kedah selama 5 tahun kepada BN?
Rasional para pelajar dan kakitangan KUIN
dipindah semula ke kampus asal di Mergong juga disebabkan oleh PAS. Dengan
kampus di Kuala Ketil yang hanya Dewan Utama saja yang siap manakala prasarana
seperti asrama dan bangunan lain yang “separa siap”, apakah wajar kampus itu
memulakan operasi penuh?
PAS secara terburu-buru memaksa pelajar dan
kakitangan berpindah ke kampus Kuala Ketil sehinggan menimbulkan kemarahan
warga KUIN. Untuk menunjuk-nunjuk kononnya kampus itu gah di mata rakyat, PAS
sengaja mengadakan majlis konvokesyen KUIN di dewan utama? Itu taktik PAS Kedah
untuk mengaburi mata rakyat? Mana masjid KUIN? Mana asrama pelajar? Apakah
semua premis di situ sudah memiliki sijil kebenaran beroperasi dari pihak
berkuasa? Tolonglah realistik dalam berhujah...
Dan kini mungkin masalah “kerja separuh siap”
PAS itu sudah diatasi Kerajaan BN Kedah. Rugilah jika kampus yang “dipaksa bina”
PAS itu tidak digunakan. Berhabis sehingga RM300 juta, tiba-tiba tidak
digunakan? Sebab itulah Kerajaan BN meminta warga KUIN berpindah ke sana. Logik
semudah itu pun bekas Pengarah Urusetia PAS Kedah tidak mampu fikir?
2. GAGAL
menyelesaikan masalah kakitangan Insaniah Holding yang tidak dibayar gaji
semenjak BN mengambilalih pentadbiran negeri pada Mei 2013.
Terima kasih kepada Zulkifli atas
keprihatinannya terhadap masalah ke-2 di atas. Penulis fikir, mungkin baru
sekarang PAS Kedah belajar mengambil tahu tentang perihal gaji kakitangan yang
melibatkan KUIN.
Peliknya, ketika dulu kakitangan KUIN terpaksa
berdemo siang dan malam menuntut keadilan dalam soal gaji mereka, di mana
Zulkifli dan PAS Kedah ketika itu? Tidur atau sengaja memekakkan telinga?
Untuk pengetahuan Zulkifli, bukan mudah untuk
menyelesaikan masalah Insaniah Holdings, sebuah syarikat yang diwujudkan di
zaman PAS Kedah itu. Dengan jumlah dan tangga gaji yang tingginya “tidak masuk
dek akal”, sudah tentu ia memerlukan penelitian yang lebih.
Lagipun, Kerajaan BN sangat berhati-hati dalam
menguruskan soal wang rakyat. Apatah lagi jika ia melibatkan kegagalan urus
tadbir PAS Kedah dulu, bukan? Apakah Zulkifli lupa mengenai peruntukan untuk
KUIN yang “dicilok” Insaniah Holdings dulu secara sah sehingga menjejaskan
pembayaran gaj kakitangan KUIN yang lain?
Tapi Zulkifli tidak perlu risau, penulis yakin
masalah tersebut sedang diteliti secara adil mereka yang berhak tidak akan
dizalimi sebagaimana yang berlaku di zaman PAS dulu.
3. GAGAL
dalam penghasilan padi/beras untuk negara di mana kini Kedah hanya mampu menyumbang
30 peratus bekalan beras, sedangkan semasa Pakatan Rakyat dahulu negeri ini
menghasilkan 44 peratus bekalan beras negara.
Penghasilan padi atau beras merupakan satu
perkara subjektif yang sewajarnya tidak dipersoal atau dijadikan isu. Ia adalah
tertakluk kepada keadaan semulajadi, hujan dan kemarau, serta faktor-faktor
lain yang mempengaruhi tanaman pada di Kedah.
Misalnya, apakah Zulkifli tergamak menyalahkan
Allah SWT sekiranya hujan tidak turun untuk tanaman padi yang dia usahakan? Dan
apakah wajar kita mempersoal tentang hukum alam yang ditentukan Allah SWT?
Rasanya pertikaian ke-3 ini tidak perlu dijawab.
4. GAGAL
menyelamatkan tanah sawah apabila mengumumkan projek ZIPY akan diteruskan di
Yan yang dijangka akan mengorbankan 4300 ekar tanah sawah.
Memang ZIPY akan diteruskan. Perjanjian yang
dianggarkan bernilai RM32.7 bilion telah ditandatangani oleh syarikat Merapoh
Resources dengan Energy China HuaCheng. Mukhriz adalah saksinya dan usah gundah
gulana tentang perkara ini.
Ayat Zulkifli yang menyebut “dijangka”
menunjukkan bekas Pengarah Urusetia Penerangan PAS itu tidak pasti dan tidak
memiliki fakta yang jelas mengenai dakwaan 4,300 ekar sawah yang kononnya akan
menjadi korban. Dari mana Zulkifli dapatkan jangkaan itu? Atau ia sekadar
persepsi?
Sewajarnya, Zulkifli dapatkan terlebih dahulu
fakta-fakta mengenai projek mega bilion itu dari sumber yang sah, Kerajaan BN
Negeri Kedah. Penulis yakin, fakta projek tersebut bertentangan dengan persepsi
yang cuba dilemparkan Zulkifli itu.
Suka penulis berikan sedikit “tips” pada
Zulkifli bahawa projek berkenaan adalah sangat mirip dengan projek SULIHH di
zaman PAS. Jika SULIHH tidak mengguna pakai tanah sawah orang kampung, adalah
besar kemungkinan fakta ZIPY juga sama seperti itu, bukan?
Jadi, usahlah tabur persepsi buruk terhadap
Kerajaan BN sesuka hati. Tolonglah jadi pihak pembangkang yang sihat, matang
dan tidak “separuh masak”. Boleh?
5. GAGAL
bercakap benar. Datuk Paduka Mukhriz Mahathir didakwa tidak bercakap benar
dalam isu pembelian kereta baharu untuk Menteri Besar Kedah. Kenyataan yang
dibuat kononnya untuk kegunaan Yang di-Pertuan Agong, walhal plet kereta terang-terangan
tertera perkataan ‘Menteri Besar Kedah’.
Pertikaia ke-5 Zulkifli dan PAS Kedah ini
menunjukkan mereka tidak membaca dan gagal mencari maklumat sebenar berhubung
isu yang dipertikaikan. Sebenarnya, dengan hanya mencari fakta mengenai isu ini
di “google” sahaja, Zulkifli akan mendapat jawapan yang tepat!
Sebetulnya, isu tersebut merupakan satu
insiden salah faham yang berlaku terhadap seorang kakitangan Kerajaan Negeri
yang tersilap sangka kerana menyangkakan bahawa kenderaan yang dibeli itu
adalah untuk kegunaan Menteri Besar Kedah.
Fakta sebenarnya ialah kakitangan Kerajaan
Negeri itu tersilap menempah nombor pendaftaran bertulis “Menteri Besar Kedah”,
sedangkan kenderaan mewah itu adalah peruntukan khas dari Perbadanan Kemajuan
Negeri Kedah (PKNK) membeli sebuah kenderaan baru bagi kegunaan DYMM Yang
DiPertuan Agong di Langkawi.
Jelas? Perkara tersebut telah dijawab sendiri
oleh Mukhriz sebelum ini.
Bersambung.... -UtaraNews.com