Siri Bercakap Dengan PAS Kedah: 20 Perkara – Siri II


Ini contoh hiburan di zaman Kerajaan PAS untuk rakyat Kedah?

Merujuk kepada “siri bercakap dengan PAS Kedah”, artikel ini merupakan jawapan dari sudut pandangan penulis UtaraNews.com yang juga merupakan rakyat negeri Kedah berhubung pertikaian bekas Ketua Urusetia Penerangan PAS Kedah, Zulkifli Yahya, yang melibatkan 20 perkara yang kononnya disifatkan sebagai “kegagalan” Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah.

Berikut adalah sambungan artikel tersebut.

6. GAGAL mengawal nafsu untuk memiliki kereta rasmi Exco yang baharu. Mereka menukar kereta rasmi dari Camry ke Perdana baharu, walaupun kereta yang ditinggalkan Exco terdahulu masih elok. Walhal sewaktu kerajaan dahulu menukar kereta baharu akibat kereta lama sudah terlalu uzur, BN sebagai pembangkang di kala itu menentang keras.

Persoalan sebenar yang perlu diberikan berkenaan tohmahan ke-6 ini ialah “siapakah yang sepatutnya mengawal nafsu untuk memiliki kereta rasmi Exco yang baharu?”. Sekiranya dirujuk kembali tentang pihak yang “kemaruk” kereta baru, pandangan penulis sebagai rakyat negeri Keda lebih tertumpu kepada Exco-Exco Kerajaan PAS Kedah yang terdahulu.

Ini adalah kerana merekalah yang memutuskan untuk membeli kenderaan mewah model Toyota Camry setelah berkuasa sebagai Kerajaan Negeri sebelum ini menggantikan kenderaan rasmi lama, model Proton Perdana Executive.

Meskipun tindakan tersebut dianggap kontroversi ekoran kedudukan Kerajaan PAS Kedah ketika itu yang tidak bijak mencari wang untuk perbendaharaan Kerajaan Negeri, mereka tetap mempertahan keputusan pembelian kenderaan-kenderaan mewah itu untuk kegunaan Exco-Exco.

Kini setelah tidak lagi menjadi Exco, desas-desus dari Wisma Darul Aman menjelaskan bahawa bekas-bekas Exco itu memohon untuk membeli kereta-kereta Toyota Camry yang pernah mereka gunakan itu sebagaimana “privillage” yang mereka nikmati sebagai “bekas Exco”.

Pada penulis, Exco-Exco Kerajaan BN Kedah tidaklah kemarukkan kemewahan apabila sanggup untuk memenuhi nafsu serakah bekas-bekas Exco PAS untuk memiliki kereta-kereta mewah yang pernah menjadi “milik sementara” mereka dulu. 

Jadi, sebelum kereta-kereta Toyota Camry itu dijual pada bekas-bekas Exco PAS itu, apalah salahnya jika Kerajaan BN Negeri Kedah bersedia dengan kenderaan baru untuk kegunaan Exco-Exco BN itu? Lagipun, kenderaan baru yang digunakan itu ditempah dari syarikat GLC milik Kerajaan, Proton. 

Salahkah tindakan itu? Dan wajarkah Zulkifli mempertikai pembelian kenderaan-kenderaan baru, Proton Perdana yang dimomokkan sebagai “Hondana” itu? Takkan nak suruh Exco Kerajaan BN Kedah jalan kaki keliling negeri sedangkan bekas Exco PAS gah bersama Toyota Camry?

7. GAGAL mengawal pembalakan yang berleluasa. Kegiatan pembalakan berjalan dengan rakus sekali terutama di daerah Padang Terap, Baling, Kulim dan Sik. Hutan digondolkan tanpa belas kasihan seolah-olah hutan tidak menyumbang apa-apa terhadap kestabilan alam.

Sebetulnya penulis “hairan bin ajaib” apabila pemimpin PAS Kedah seperti Zulkifli ini berani menimbulkan kembali tentang isu pembalakan di negeri Kedah. Sebabnya, boleh dikatakan semua kegiatan pembalakan yang disebut itu merupakan projek balak “kurniaan” zaman pemerintahan PAS Kedah!

Zulkifli harus fahama bahawa apabila sesebuah konsesi balak diluluskan Kerajaan PAS Negeri Kedah dulu, maka Kerajaan BN Negeri Kedah sekarang tidak boleh membatalkan kelulusan tersebut.Sekiranya dibatalkan juga, dikhuatiri kemungkinan Kerajaan Negeri terpaksa membayar ganti rugi dengan nilai yang sangat tinggi pada pemegang konsesi pembalakan itu.

Selalunya, konsesi balak diberikan untuk tempoh 25 tahun bagi sesebuah pemegang konsesi. Penulis yakin, konsesi-konsesi balak tersebut diluluskan Kerajaan PAS Negeri Kedah sebelum ini. Atas kerakusan PAS Kedah “merompak” hasil bumi Kedah itulah, maka Kerajaan BN dan rakyat negeri Kedah terpaksa menanggung kerugian yang dinyatakan Zulkifli itu sekarang.

Persoalannya, apakah Zulkifli cuba mendedahkan salah urus tadbir Kerajaan PAS Kedah sebelum ini? Penulis mencadangkan supaya bekas Ketua Urusetia Penerangan Kerajaan PAS Kedah tanya sendiri pada Exco PAS yang meluluskan konsesi-konsesi balak “cuci mangkuk” itu.

8. GAGAL mengawal budaya hedonism. Kerajaan Negeri membenarkan kumpulan penyanyi separa bogel K-Pop dibawa masuk dari Korea dalam konsert UEPE yang di adakan di Sungai Petani.

Merujuk pada tohmahan ke-8 ini, penulis ingin bertanya pada Zulkifli, apakah hak dirinya untuk menafikan hak rakyat Kedah yang bukan beragama Islam untuk berhibur? Sebagaimana maklum, rakyat negeri Kedah memang agak unik kerana dibarisi oleh beberapa etnik dan kepelbagaian kaum seperti Cina, India, Siam dan sebagainya. 

Sekiranya di negeri-negeri Pakatan Rakyat seperti Selangor, golongan bukan Islam diberi hak untuk berhibur dengan K-Pop, disko, rumah urut, pusat-pusat hiburan, premis judi haram dan sebagainya, apa salahnya jika golongan bukan Islam di Kedah diberi hak yang sama?

Malah di Kedah, aktiviti yang dikatakan Zulkifli itu dikawal selia dan merupakan hiburan yang ada had serta tidak dilakukan secara haram seperti di Selangor, bukan? Lagipun, apalah sangat dengan hiburan K-Pop yang sekali-sekala saja diadakan berbanding pusat-pusat hiburan “setiap hari” yang diwujudkan di zaman pentadbiran PAS Kedah sebelum ini, kan?

9. GAGAL menjaga duit negeri, menggunakan untuk tujuan tidak baik. Kerajaan pimpinan Mukhriz dengan murah hati ‘bersedekah’ kepada Astro yang menganjurkan Program Maharaja Lawak Mega sebanyak RM200,000.00. Jumlah tersebut terlalu besar untuk rakyat Kedah yang miskin tetapi BN menghabiskannya untuk orang ramai bergelak ketawa.

Memang benar Kerajaan BN Negeri Kedah meluluskan RM200,000 untuk program Maharaja Lawak Mega yang berlangsung di Dewan Wawasan Jitra. Namun, program itu juga bersifat “one stop” dan mendapat sambutan hangat rakyat Kedah, bukan?

Dalam erti kata lain, program itu “dihadiahkan” Kerajaan Negeri kepada rakyat Kedah juga dan ia bukan majlis peribadi Kerajaan Negeri. 

Berbanding dengan program “Himpunan Hijau ke Putrajaya” yang dianjurkan PAS ketika mentadbir Kedah, ia bukan saja menelan belanja yang sangat besar, malah program yang tidak berfaedah itu juga telah menyebabkan Perbadanan Stadium Negeri Kedah mengalami kerugian yang sangat tinggi.

Misalnya, setelah program yang diadakan di Stadium Darul Aman itu berakhir, sampah sarap boleh dilihat di segenap cerok di kawasan stadium tersebut. Malah himpunan anjuran PAS itu juga telah menyebabkan kerosakan teruk padang stadium dan terpaksa menelan belanja yang besar untuk memperbaikinya. 

Duit siapakah yang digunakan untuk menyelesaikan masalah yang ditinggalkan PAS Kedah itu? Duit rakyat Kedah juga, bukan? Program politik PAS, tapi rakyat Kedah yang terpaksa menanggung kosnya?

10. GAGAL menghormati pegawai tadbir kerajaan negeri (KCS) di mana Menteri Besar cuba melantik Setiausaha Sulit Kanan dari kalangan bukan KCS. Akibat mendapat tentangan, individu tersebut dilantik sebagai Ketua Pegawai Khas (jawatan baru yang diwujudkan) dengan gaji dan elaun yang luarbiasa. Walhal mengikut tradisi pentadbiran pejabat Menteri Besar selama ini, ketua bagi pegawai-pegawai khas adalah Setiausaha Politik.

Dari mana agaknya Zulkifli dapatkan “ceritera” pada tohmahan ke-10 ini? Siapakah sumbernya?
Sekiranya sumber berkenaan punya kreadibiliti, mengapa tidak Zulkifli dedahkan sumber tersebut demi kebenaran? Jika kebenaran pun enggan didedahkan, bagaimana untuk kita percaya “ceritera” yang dikisahkan Zulkifli itu, bukan?

Siapa pula “Ketua Pegawai Khas” yang dimaksudkan di atas? Berapa pula jumlah gaji dan elaun yang dikatakan “luarbiasa” oleh Zulkifli? Kenapa tidak dedahkan nama, jumlah gaji dan elaun “Ketua Pegawai Khas” itu?

Gaji seorang CEO syarikat kewangan besar seperti Maybank memang dijangka besar jumlahnya. Itu fenomena biasa. Namun jika gaji CEO Maybank hanya RM1,500 sebulan, maka ia boleh dianggap “luar biasa” juga, bukan? Istilah “luar biasa” tidak semestinya bersifat “terlalu tinggi”, “terlalu rendah” pun boleh dianggap “luar biasa” juga, bukan?

Apa kata kalau Zulkifli dedahkan saja nama sebenar, gaji dan elaun “Ketua Pegawai Khas” Menteri Besar itu? Kenapa tidak didedahkan? Kerana maklumat yang ada pada Zulkifli itu tidak sahih, bukan? Sekadar “hearsay”, bukan?

Jika maklumat tidak sahih, tiada bukti kukuh, tidak berasas dan sekadar “cakap-cakap orang”, kenapa pula Zulkifli sanggup tulis? Apakah Zulkifli berniat untuk mencemar nama PAS dengan tohmahan dan fitnah berdasarkan maklumat tidak berasas seperti ini?

Nantikan sambungan “siri bercakap dengan PAS Kedah: 20 perkara” ini nanti...-UtaraNews.com