Siri ulasan berhubung
20 perkara yang diketengahkan bekas Pengarah Urusetia Penerangan PAS Kedah,
Zulkifli Yahya, bukanlah bertujuan untuk menyerang kreadibiliti mana-mana
pihak, sama ada pihak pembangkang, Kerajaan Negeri Kedah atau Zulkifli sendiri.
Namun ulasan ini
lebih tertumpu pada hakihat kebenaran, fakta dan logik berlandaskan nilai-nilai
mahmudah dari faktor agama, masyarakat dan sentimen isu politik tempatan.
Justeru, siri akhir
ulasan ini diharap agar memberikan pencerahan sewajarnya berkenaan dakwaan
pemimpin PAS Kedah yang dilaporkan pernah bertugas di Wisma Darulama itu secara
lantikan politik.
16. GAGAL membuat keputusan yang wajar dalam isu
pelantikan Pengarah Urusan Bina Darulaman Berhad (BDB) yang dikaitkan dengan
siasatan salahlaku. Sepatutnya biar individu berkenaan membersihkan namanya
satu melalui siasatan tersebut, sebelum pelantikan dibuat.
Berhubung dakwaan
di atas, penulis cuba memahami kenyataan Zulkifli yang menuduh Pengarah Urusan
BDB yang dikatakan terlibat dengan siasatan salahlaku. Merujuk pada laman web
BDB yang terkini diakses, individu yang dimaksudkan itu ialah Dato’ Izham Yusoff.
Kononnya, adalah
tidak wajar untuk melantik Izham sebagai Pengarah Urusan BDB? Betulkah dia
sedang disiasat atas tuduhan salahlaku? Kalau benar, apakah sudah terbukti
Izham bersalah dalam tuduhan tersebut?
Apakah rasional
Zulkifli atas tuduhan untuk tidak mewajarkan perlantikan Izham? Apakah wajar
Izham dihukum dengan persepsi begitu sebelum terbukti bersalah? Bagaimana jika
Pengarah Urusan BDB itu menjadi mangsa fitnah, hasad dengki dan iri hati pihak
tertentu?
Apa salahnya Izham
dilantik sebagai Pengarah Urusan BDB walaupun dia masih disiasat atas tuduhan
tersebut? Ketua Pembangkang yang menjadi “pujaan” Zulkifli sendiri terpalit
dengan pelbagai salah laku, malah pernah dipenjara atas tuduhan salahguna kuasa
dan kini menanti saat ke penjara semula atas tuduhan meliwat. Apakah wajar
Pakatan Rakyat melantik Anwar sebagai Ketua Pembangkang?
Dalam konteks ini,
Zulkifli lebih wajar mempersoal kedudukan Anwar sebagai Ketua Pembangkang yang
sudah terbukti bersalah dan punya latar belakang yang tidak berakhlak
berbanding Izham yang belum diputuskan bersalah, bukan?
Penulis yakin,
Islam juga tidak menganjurkan umatnya untuk menghukum seseorang hanya
berdasarkan persepsi sebegitu tanpa asas yang kukuh. Malah Islam melarang keras
tohmahan seumpama itu diamalkan oleh umatnya.
Jadi, penulis
mencadangkan supaya Zulkifli memikirkan kembali kewajarannya menuduh Menteri
Besar, Dato’ Seri Mukhriz Tun Mahathir, sebagai “gagal” dan tidak wajar dalam
soal lantikan Pengarah Urusan BDB itu.
17. GAGAL mengisi kekosongan imam dan pegawai masjid di
banyak buah masjid di negeri ini.
Penulis masih lagi
ingat mengenai tindakan Kerajaan PAS Negeri Kedah sebelum ini yang bertindak
menamatkan kontrak beberapa orang imam dan pegawai masjid sebelum melantik
imam-imam dan pegawai-pegawai masjid baru yang terdiri dari kalangan ahli-ahli
PAS.
Penulis tidak
menyalahkan PAS Kedah atas tindakan tersebut meskipun selepas itu timbul
perasaan tidak puas hati di kalangan ramai umat Islam yang mengeluh mengenai
imam-imam PAS itu yang berkhutbah “politik” di atas mimbar Jumaat.
Malah ada yang
mencebik bibir dan mengadu dengan kecaman keras berbaur politik oleh beberapa
imam PAS. Perkara tersebut secara tidak langsung telah mencemar kesucian institusi
masjid selain mencetus ketegangan dan pepecahan umat Islam di rumah Allah,
bukan?
Jadi, meskipun Kerajaan
PAS Kedah dulu “pantas secepat kilat” melantik imam dan pegawai masjid, ia
layak disifatkan mempunyai motif “pengkaderan” penyokong dan ahli PAS secara
besar-besaran di kalangan jemaah dengan mempergunakan masjid sebagai pekakas
kempen politik. Wajarkah?
Berbalik kepada
pertikaian Zulkifli di atas, penulis berpandangan bahawa Majlis Agama Islam
Kedah (MAIK) tidak bermaksud untuk lambat atau tidak melantik imam atau pegawai
di beberapa masjid. Namun ia lebih baik dilakukan mengikut garis panduan
sebenar yang bebas politik.
Mungkin MAIK
sendiri telah belajar dari tindakan PAS Kedah sebelum ini yang mencetus banyak
masalah di kalangan anak-anak qariah dan lebih berhati-hati dalam usaha
mengenal pasti imam yang layak dilantik. Salahkah tindakan MAIK itu?
Seperkara lagi,
Zulkifli harus ingat bahawa perlantikan imam dan pegawai masjid adalah
tertakluk di bawah bidang kuasa DYMM Sultan Kedah atau Jemaah Pemangku Sultan
Kedah. Adalah sangat tidak tepat untuk Zulkifli atau PAS menuding jari
menyalahkan Menteri Besar dalam soal ini, bukan? Zulkifli mahu mencabar Istana
Kedah, kah?
18. GAGAL menyelesaikan masalah lantikan JKKK di beberapa
buah daerah, akibat perebutan untuk jawatan tersebut.
Setahu penulis
apabila menyebut mengenai perlantikan JKKK, adalah satu kebiasaan berlakunya
sedikit salah faham dan perebutan kuasa. Bukan saja JKKK, malah proses jawatan
MKK oleh PAS Kedah ketika berperanan sebagai kerajaan negeri dulu juga
menghadapi masalah yang serupa.
Jadi, kelewatan
melantik JKKK atau MKK adalah situasi normal di seluruh negara, tidak
terkecuali di Kedah. Namun, penulis juga yakin bahawa kelewatan perlantikan
JKKK itu sedang cuba diselesaikan oleh pihak berkaitan.
Yang pentingnya,
JKKK yang dilantik itu mampu menjalankan tugas dengan adil dan tidak seperti
MKK di zaman PAS yang begitu terkenal dengan sifat “pilih bulu” dan pekat
dengan “sentimen kepartian” untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat.
Contoh terbaik
ialah ketika rakyat Kedah menderita dilanda banjir besar pada November 2010
yang menyaksikan beberapa negeri BN terpaksa campur tangan menghulurkan bantuan
atas dasar kemanusiaan. Ketika itu, apakah fungsi MKK yang dilantik PAS Kedah?
19. GAGAL menangani penderitaan hidup rakyat, khususnya
penoreh getah yang terbeban dengan kejatuhan harga getah serta peningkatan kos
hidup. Kepimpinan kerajaan negeri Kedah seolah-olah tidak tahu cara untuk
menanganinya.
Apa yang
dimaksudkan dakwaan Zulkifli yang mengatakan “Kerajaan Negeri Kedah seolah-olah
tidak tahu cara untuk menanganinya”? Kerajaan Negeri tahu cara untuk menangani
masalah namun tidak melaksanakan cara tersebut? Lebih pelik, apakah Zulkifli
fikir derita rakyat Kedah baru berlaku di zaman pentadbiran Kerajaan BN?
Sebagaimana maklum,
harga getah adalah bergantung kepada harga pasaran komoditi itu di peringkat
antarabangsa. Ia sama seperti harga kelapa sawit atau komoditi yang lain. Jika
pasaran getah dunia meningkat harganya, maka sudah tentu harga getah meningkat
naik dan begitu juga sebaliknya.
Pada penulis,
risiko itulah yang perlu dihadapi oleh pekebun-pekebun getah. Malah risiko
itulah juga yang terpaksa ditelan oleh penoreh-penoreh sama ada yang menoreh di
kebun sendiri, secara pawah atau mengambil upah menoreh di kebun orang.
Mungkin Zulkifli
terlepas pandang mengenai peranan Kerajaan BN Negeri Kedah yang berusaha keras untuk
menyelesaikan masalah tersebut. Antara usaha yang dilaksanakan Kerajaan Negeri
ialah seperti berikut:
- Mengadakan dialog dengan rakyat, terutama penoreh bagi menjelaskan perkara sebenar bagi menenangkan emosi penoreh getah yang diambil kesempatan oleh pihak tertentu dengan cuba mempolitikkan keadaan.
- Maklum balas dari sesi dialog itu disalurkan kepada Kerajaan Pusat untuk tindakan lanjut ekoran ia adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Pusat.
- Mewujudkan program latihan berkaitan pertanian agar pekebun kecil atau penoreh getah mempunyai pendapatan sampingan tanpa bergantung kepada getah sahaja.
- Beberapa Exco seperti Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi dan lain-lain portfolio berkaitan berusaha keras untuk membantu golongan pekebun kecil atau penoreh getah.
- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) juga diminta untuk mengagihkan bantuan, termasuk bantuan kewangan, secara menyeluruh kepada pekebun kecil atau penoreh getah di seluruh Kedah.
- Kerajaan Negeri juga memohon Kementerian Luar Bandar dan Wilayah untuk menghulurkan bantuan sewajarnya kepada rakyat Kedah yang terjejas.
Dengan
tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan BN Negeri Kedah di atas, apakah
ia masih lagi wajar dituduh sebagai “seolah-olah tidak tahu cara untuk
menanganinya”? Mungkin Zulkifli sendiri yang tidak wajar untuk mempertikai
kreadibiliti Kerajaan Negeri, bukan?
20. GAGAL memperkasa
sukan bolasepak yang menjadi kebanggaan negeri ini suatu masa dahulu. Prestasi
bolasepak Kedah jatuh merudum kira-kira 70 peratus dari sebelumnya.
Jatuh bangun skuad
bolasepak adalah suatu yang sangat objektif untuk dipersoalkan. Prestasi
sesebuah skuad bolasepak itu selalunya bergantung kepada beberapa faktor
seperti kedudukan kewangan, pengurus atau jurulatih skuad dan skuad bolasepak
itu sendiri.
Memiliki sumber
kewangan saja tidak menjamin sesebuah pasukan itu untuk melonjak naik. Misalnya
Chelsea yang dimiliki seorang billionaire, masih gagal mengungguli carta Liga
Perdana Inggeris sejak beberapa tahun lalu.
Memiliki skuad dan
jurulatih yang hebat seperti Real Madrid yang mendapat jolokan “The Galacticos”
juga masih belum mampu menjamin tempat pertama di Liga Sepanyol. Mereka masih dibayangi
pendahulu liga dan pasukan seperti Barcelona, Atletico Madrid dan sebagainya.
Sebetulnya, bola
itu bulat dan segala kemungkinan boleh berlaku. Kerajaan BN Kedah sebelum ini
pernah membawa tiga kejuaraan kembali ke negeri Jelapang Padi bertuah ini. Namun
adakalanya, skuad kesayangan kita itu rebah jua ke bawah carta liga.
Bukan di zaman BN
saja, malah di zaman PAS memerintah Kedah pun, skuad Hijau Kuning ada naik dan
turunnya. Kadang-kadang, mereka membawa pulang piala kebanggaan, namun ada
masanya mereka pulang dengan kehampaan.
Pokok pangkalnya,
setiap Kerajaan Negeri berhempas pulas untuk memastikan skuad bolasepak mereka
menghuni carta teratas liga. Jadi, tak perlulah Zulkifli mempolitikkan isu ini.
Ia melambangkan ketidak matangan dalam mencetus isu.
Kesimpulan
Jelaslah pada kita
bahawa 20 perkara yang dicetus bekas Pengarah Urusetia Penerangan PAS Kedah itu
hanyalah sekadar persepsi, bersifat separuh matang, tidak tepat, kurang relevan
dan tidak berasas sama sekali.
Ia tidak lebih dari
penulisan menyemai politik kebencian selain cuba memburuk-burukkan Kerajaan BN
Negeri Kedah yang kembali mendapat tempat yang lebih istimewa di hati rakyat.
Rakyat Kedah di era
ini semakin matang dan mampu berfikir secara rasional serta bijak untuk
mengenali peranan Kerajaan Negeri pimpinan Mukhriz Mahathir yang jauh lebih
baik berbanding PAS sebelum ini.
Bak kata orang
Kedah, “kami serik dah dok bawah PAS dulu, tobat lahom la tak mau pangkah depa
dahhh”. – UtaraNews.com