KUALA LUMPUR – Seorang pelajar kolej swasta warga Nigeria mengaku
tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap
pertuduhan menipu seorang suri rumah membabitkan RM231,000.
Egbugha Obinna Godwin, 27, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan
terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan.
Tertuduh didakwa menipu Anni Attang, 45, yang merupakan kenalan
Facebook, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa dia boleh
mendapatkan keuntungan daripada projek sebuah syarikat petroleum dan
memulangkan wang dua kali ganda daripada jumlah wang yang dipinjam itu.
Perbuatan itu didakwa dengan curang mendorong Anni memasukkan wang
RM70,000 ke dalam akaun Maybank milik Norazalin Muiz dan RM161,000 ke
dalam akaun Maybank milik Noor Arifin Ismail, yang juga kenalan
tertuduh.
Godwin didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Sentul Raya, Jalan
14/48A, The Boulevard Office, Off Jalan Sentul di sini antara 11.06
pagi, 9 Jan lepas hingga 1.39 tengah hari, 27 Jan lepas, mengikut
Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dan
sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Tertuduh bagaimanapun mengaku bersalah terhadap pertuduhan tinggal lebih masa selepas pas visa pelajarnya tamat tempoh.
Bagi kesalahan itu, Majistret Ashraf Rezal menjatuhi hukuman penjara
tiga bulan terhadap Godwin bermula dari tarikh dia ditangkap pada 23 Mac
lepas dan menetapkan 13 Mei untuk sebutan lantikan peguam.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nom Phot Prackdit.
Sementara itu, di mahkamah sama, pasangan suami isteri, Norazalin,
37, dan Noor Arifin, 49, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan
dengan curang mengeluarkan wang bukan milik mereka berjumlah RM204,000.
Mereka didakwa mengeluarkan wang itu yang juga milik Anni di tiga
lokasi berbeza iaitu di Maybank Damansara Jaya, Maybank Aeon Bukit
Tinggi ShoppingCentre dan Maybank Intan Millennium, Taman Intan, Klang
antara 3 petang, 9 Januari hingga 11.06 pagi, 28 Januari lepas.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang
membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan denda, jika
sabit kesalahan.
Majistret Ashraf Rezal membenarkan Norazalin dan Noor Arifin diikat
jamin RM3,000 dengan seorang penjamin setiap seorang bagi semua
pertuduhan dan menetapkan 22 April depan untuk sebutan semula kes itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa menawarkan
wang jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Gerard
Lazarus yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon wang jaminan
dikurangkan kepada RM3,000 setiap seorang.
Alasan yang diberi ialah suami isteri itu perlu menanggung enam anak termasuk empat yang bersekolah. – BERNAMA