Pelakon dan penyanyi yang mula dikenali
menerusi program Masterchef Selebriti Malaysia, So Wincci yang telah
mencuba berpuasa pada tahun lalu masih meneruskan usahanya berpuasa pada
tahun ini. Walaupun apa pihak yang mengecam tindakannya itu
memandangkan dia bukan beragama Islam, Wincci tidak melenting,
sebaliknya menjelaskan niatnya dengan cara baik.
“Dapat dilihat pelbagai komen telah diberikan mengenai isu saya berpuasa.
Ada yang negatif dan ada juga yang
positif. Namun, saya cuba tidak melatah dengan isu tersebut, sebaliknya
menerangkan mengapa saya mengambil keputusan untuk berpuasa.Keluarga
yang banyak menentang keputusan saya untuk berpuasa pada tahun lepas
kini mula memberi sokongan kepada saya. Mereka lebih peka untuk tidak
makan depan Wincci dan makan pada waktu berbuka bersama-sama saya,”
katanya.
Bagi Wincci, puasa tahun ini lebih
bermakna buat dirinya kerana dia dapat merasai nikmat berpuasa dan pada
masa yang sama turut mendidik diri ke arah kebaikan. Dia berpendapat,
selain menahan diri dari lapar dan dahaga, puasa juga mengajar erti
kesabaran serta saling menghormati satu sama lain.
“Menanti saat berbuka membuatkan saya
lebih menikmati makanan, tetapi saya tidak mengamalkan makan terlalu
banyak kerana boleh menyebabkan kerja lain terbantut sebaliknya saya
lebihkan makan ketika sahur,” kata Wincci.
Antara cabaran buat Wincci ketika pada
bulan puasa ini ialah dia perlu menjalani sesi latihan tarian tiang
untuk persembahannya untuk sebuah konsert pada 17 Ogos ini di Bukit
Jalil. Latihan yang diadakan pada siang hari itu sedikit sebanyak
mengujinya kerana badan terasa agak penat selain tekak berasa dahaga.
Selain itu, Wincci juga tampil dengan
lagu raya nukilannya sendiri berjudul, ‘Salam Aidilfitri’. Malah dia
juga turut berkolaborasi dengan Dina Nadzir, One Nation Emcee dan
beberapa artis lain untuk menyanyikan sebuah lagu rancak yang bertemakan
raya. – Gua