Alor Setar: Pelajar Tingkatan Tiga, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
Bukit Payung, Pokok Sena, dekat sini maut, manakala seorang anggota
tentera cedera parah apabila motosikal mereka bertembung di persimpangan
Penjara Pokok Sena, dekat sini, malam kelmarin.
Mangsa dikenali sebagai Fathullah Mohamad, 15, mati di tempat
kejadian akibat cedera parah di badan manakala anggota tentera itu,
Rizal Ahmad, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi, cedera parah dan
dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah.
Fathullah menunggang untuk pulang ke rumahnya di Kampung Padang apabila cuba memotong kenderaan lain dan bertembung dengan motosikal Rizal kira-kira jam 10 malam.
Remaja terbabit dikatakan keluar rumah jam 6 petang untuk membeli alat tulis untuk peperiksaan percubaan Penilaian Penengah Rendah (PMR) hari ini selain bertemu rakan.
Pelajar harapan
Ibu saudara mangsa, Fathiyah Abdullah, 35, berkata arwah adalah pelajar harapan sekolah kerana sering memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Beliau berkata, anak kelima daripada enam beradik itu tinggal bersamanya sejak setahun lalu selepas kehilangan ibu kandung.
“Selepas kematian ibunya arwah yang juga anak saudara saya tinggal bersama kami kerana bapanya sibuk menjalankan perniagaan sendiri di Kuala Lumpur.
“Namun saya tidak sangka ia adalah pertemuan terakhir kami dan arwah pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya. Dia pelajar harapan sekolahnya kerana prestasi yang cemerlang setiap kali peperiksaan.
“Sebelum kejadian arwah juga sempat memohon maaf daripada adik beradik dan rakannya dan sering menulis di laman Facebook mengenai kerinduannya terhadap ibu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Pokok Sena dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mat Jan, berkata sebuah motosikal terbabit terbakar dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- BH