Kuala Lumpur: Ketika umat Islam lain berlumba-lumba mengumpul pahala
sepanjang Ramadan, segelintir pula sibuk di pusat judi siber sehingga
larut malam.
Bagaimanapun, kegiatan golongan itu terdedah apabila sepasukan
anggota polis dari cawangan Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras melakukan serbuan di empat premis
perjudian sekitar Taman Segar, Cheras di sini, semalam.
Dalam serbuan jam 10.45 malam hingga 1 pagi itu, seramai 11 individu termasuk empat penjaga premis ditahan dan mengejutkan apabila sebahagian daripada mereka beragama Islam.
Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh berkata,
serbuan dilakukan berdasarkan maklumat awam mengenai kegiatan perjudian
di tiga premis berkenaan.
“Beberapa pegawai dan anggota melakukan risikan sebelum serbuan dibuat di empat premis yang menawarkan permainan mesin judi ‘roulette’ secara talian.
“Serbuan diketuai Inspektor Zaili Zakaria itu menahan enam kaki judi yang leka berjudi bersama empat penjaga premis,” katanya. Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, beberapa individu ditahan beragama Islam, malah sebahagian penjaga premis warga asing dari Bangladesh.
“Polis merampas 115 set komputer yang diubah suai untuk kegiatan
perjudian serta wang tunai RM940 dipercayai hasil perjudian,” katanya.
Mohan berkata, semua kaki judi yang ditangkap dibawa ke IPD Cheras untuk tindakan lanjut. - MM