Diperintah DAP, Jalan Penang Hilang Seri Aidilfitri...

GEORGETOWN - Lazimnya menjelang sambutan Aidilfitri, Jalan Penang di sini adalah umpama Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) di ibu negara, sesak dengan pengunjung yang membeli-belah.
 
Lagu-lagu raya yang berkumandang menambahkan kemeriahan ketika pengunjung sibuk tawar-menawar harga pelbagai barangan keperluan menyambut hari raya yang dijual oleh ratusan peniaga.
 
Namun itu tinggal kenangan kerana bazar yang muncul setahun sekali berkenaan sudah tidak wujud lagi selepas Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) melarang peniaga berniaga di situ, sebaliknya memindahkan mereka ke Lebuh Dickens.
  
Walaupun hanya terletak kira-kira 200 meter dari situ, Lebuh Dickens bukanlah laluan orang ramai dan tinjauan Bernama di situ mendapati hanya ada enam peniaga manakala bilangan pengunjung pula boleh dihitung dengan jari.
 
"Walaupun kami menjual dengan harga yang murah berbanding di kedai, pelanggan tidak berkunjung ke kawasan ini dan suasana tahun ini sangat hambar," kata peniaga kain pelikat dan telekung Mohd Hambali kepada Bernama.

Bagi peniaga barangan wanita, Siara Abdul Latiff, 51, MPPP hanya memberi ruang yang kecil untuk mereka membuka gerai menyebabkan orang ramai tidak tertarik untuk datang ke situ.
 
"MPPP bagi alasan kesesakan lalu lintas tetapi kami bukannya berniaga di atas jalan raya, kami hanya berniaga di kaki lima dan orang ramai memberi sambutan berbanding sekarang tiada pelanggan yang singgah," katanya.
 
Sementara itu, Pengarah Perlesenan MPPP Azman Sirun berkata pihaknya tidak membenarkan peniaga membuka gerai di kawasan Jalan Penang atas beberapa faktor termasuk keselamatan.
 
"MPPP sedang menaik taraf Bazar Chowrasta, jadi pihak kami takut ianya akan membahayakan orang awam mahupun peniaga-peniaga. Kami tidak mahu benda yang sama terjadi seperti kes runtuhan jambatan beberapa bulan lepas," katanya kepada Bernama di sini.
 
Selain itu katanya MPPP juga mengambil kira persaingan peniaga di dalam dan di kaki lima kerana mereka menjual barangan yang sama.
 
"Ada rungutan mengenai peniaga di dalam bazar membayar sewa yang mahal kepada tuan punya bangunan dan peniaga-peniaga gerai kaki lima hanya membayar sewa yang murah kepada pihak MPPP," katanya. - Bernama