ALOR SETAR - Orang ramai berpeluang
mendapatkan barangan keperluan Hari Raya Aidilfitri pada harga diskaun
sehingga 30 peratus pada program Jom Beli Barangan Raya 2013 di Stadium
Sultan Abdul Halim di sini.
Program yang berlangsung selama 10 hari itu adalah anjuran Pejabat
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
Kedah bermula 26 Julai lalu hingga 4 Ogos ini.
Timbalan Menteri KPDNKK, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata,
program tersebut adalah inisiatif kementerian untuk mengurangkan beban
rakyat pada musim perayaan selain melaksanakan harga kawalan barangan
keperluan.
"Pelbagai barangan yang dijual terus dari kilang ditawarkan pada
harga lebih rendah dari pasaran bagi meringankan beban rakyat untuk
menyambut Aidilfitri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
program itu semalam.
Hadir sama Pengarah KPDNKK Kedah, Mohd. Sakri Saleh.
Jom Beli Barangan Raya yang menawarkan pelbagai pilihan barangan
berupa perabut, barangan elektrik, pakaian, kuih muih, permaidani dan
aksesori wanita dibuka pada pukul 11 pagi hingga 11 malam.
Dalam pada itu, Mohd. Sakri memberitahu, program kali kedua itu
disertai 36 syarikat dan peniaga dari Kedah, Perlis serta Pulau Pinang.
Katanya, pada tahun lepas, pihaknya mengadakan program itu selama
lima hari dengan lebih 2,000 orang pengunjung dan nilai jualan
RM250,000.
"Pada tahun ini penganjur memanjangkan tempoh program sehingga 10
hari dengan sasaran jualan melebihi RM500,000. Orang ramai perlu
mengambil kesempatan untuk memperoleh barangan pada harga patut,"
katanya. - Utusan