JITRA: Enakmen anti-Syiah akan dimasukkan ke dalam undang-undang
tubuh kerajaan Kedah dalam masa terdekat sebagai respons kepada reaksi
positif masyarakat yang turut menentang fahaman Syiah, kata Timbalan
Mufti Kedah Syeikh Marwazi Dziyauddin.
Beliau berkata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir telah
mengarahkan supaya disegerakan pelaksanaan enakmen itu bagi membolehkan
tindakan dikenakan terhadap pengikut Syiah yang menyebarkan fahaman
sesat itu menerusi pelbagai cara.
Tindakan akan diambil paling cepat selepas Hari Raya, katanya ketika
ditemui pada mesyuarat Jawatankuasa Gabungan Institusi Pondok, Maahad
Tahfiz dan Ilmuan Sunni (Giptis) di sini malam tadi.
Beliau mengulas pengumuman Mukhriz baru-baru ini bahawa kerajaan negeri akan mewartakan fatwa anti-Syiah bagi membanteras fahaman itu daripada menular dalam kalangan masyarakat.
Beliau mengulas pengumuman Mukhriz baru-baru ini bahawa kerajaan negeri akan mewartakan fatwa anti-Syiah bagi membanteras fahaman itu daripada menular dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Giptis Dr Abd Aziz Hanafi sementara itu mahu kerajaan mengkaji semula kurikulum Pendidikan Islam sedia ada dalam usaha mengekang fahaman Syiah yang dipercayai turut menular dalam kalangan pelajar.
Beliau berkata misi dan falsafah subjek Pendidikan Islam perlu diperbarui bermula di peringkat prasekolah agar pelajar tidak terpengaruh dengan amalan Syiah yang bertentangan dengan ajaran Islam.
"Kita minta kerajaan kaji semua silibus yang ada. Kita boleh minta ilmuan Sunni menulis semua sejarah Islam dan memartabatkan sahabat -sahabat Nabi yang tidak diiktiraf oleh Syiah.
"Kita mahu melihat mata pelajaran tersebut lebih berkesan dan misi, falsafah, kurikulum, silibus yang diajar di semua peringkat pengajian termasuk institut pengajian tinggi dilaksanakan mengikut kehendak Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya.
Abd Aziz berkata pihaknya turut mengalu-alukan ilmuan Sunni dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bekerjasama dengan Giptis dalam usaha menentang habis-habisan fahaman Syiah yang bergerak secara diam-diam.
Beliau berkata pihaknya akan menganjurkan seminar pemantapan akidah untuk masyarakat Islam yang berpegang kepada Ahli Sunnah agar tidak mudah diseleweng oleh fahaman Syiah dan ajaran sesat yang lain. - Bernama