BUKAN hanya dibogel dan dicabul, malah seorang gadis berusia 18 tahun
turut diugut gambar bogelnya disebarkan jika abang ipar dan kakaknya
gagal menjelaskan hutang ah long.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Dila berkata, abang ipar dan
kakaknya itu meminjam lebih RM3,000 daripada ah long sejak akhir tahun
lalu, namun gagal membayar balik.
“Akibatnya saya yang terima padah apabila tiga lelaki dipercayai ah
long mula datang mengganggu di tempat saya bekerja,” katanya sewaktu
ditemu bual di sebuah rumah perlindungan di pinggir ibu kota, semalam.
Dila berkata, gangguan daripada tiga lelaki itu berlarutan hampir setiap hari sehingga awal tahun ini.
Menurutnya, pada suatu hari ketika dalam perjalanan pulang dari
tempat kerja, tiga lelaki berkenaan memaksanya menaiki motosikal.
“Saya dibawa ke kawasan semak, sebelum mereka mengarahkan saya
menanggalkan pakaian dan mengambil gambar saya sebelum dicabul
bergilir-gilir,” katanya.
Dila berkata, sehingga kini dia tidak tahu di mana abang ipar dan
kakaknya berada dan berharap mereka dapat melangsaikan hutang tersebut
secepat mungkin.
Anak ketujuh daripada sembilan adik beradik itu memberitahu,
berikutan insiden itu emosinya terganggu dan dia kini trauma dan hanya
mempunyai ibunya untuk membantu.
Penderitaan Dila tidak habis di situ apabila dia turut mengakui
pernah didera oleh abang sulungnya yang mengalami sakit mental sejak
lima tahun lalu, memaksa dia tinggal bersama keluarga kakaknya.
“Abang sulung pernah mencabul salah seorang daripada kakak saya,
sebelum dia dipenjara kira-kira dua tahun atas kesalahan itu,” katanya.
Menurutnya, abang sulungnya itu juga sering bertindak ganas dengan
memukul, menyepak, menghentak kepalanya didinding atas alasan tidak
berpuas hati dengan masakannya. – SH