KUALA TERENGGANU – Pemimpin Pas menganggap kekalahan calon parti itu
dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut mempunyai kaitan dengan
penetapan tarikh pilihan raya yang dibuat pada hari bekerja.
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Terengganu, Hanafiah Mat
berkata, tarikh yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu
menyebabkan pengundi Kuala Besut yang berada di luar Terengganu tidak
dapat pulang mengundi.
Mendakwa tarikh yang ditetapkan pada hari Rabu itu seolah-olah telah
direncanakan pihak tertentu untuk tidak memberi peluang menang kepada
Pas, beliau berkata, pengundi luar seolah-olah disekat untuk pulang
mengundi kerana umum mengetahui kebanyakan pengundi tersebut memberi
sokongan yang tinggi kepada pembangkang.
“Menteri Besar sendiri mengakui pengundi luar telah memberi kemenangan
kepada pembangkang pada PRU13 lalu. Untuk PRK lalu, ada kira-kira 1,400
lagi pengundi yang tidak balik,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Menjelaskan permasalahan pengundi luar untuk mengambil cuti, Hanafiah
yang juga Pengurus Kempen PRK Dun Kuala Besut berkata, pertembungan cuti
yang akan diambil pada hari raya menyebabkan cuti mereka tidak mendapat
kelulusan.
“Kita juga dapat maklumat ada juga yang dapat cuti tetapi anak mereka
pula bersekolah, isteri yang bekerja sebagai guru juga sukar mendapat
cuti,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman
berkata, pihaknya optimis calon Pas menghampiri kemenangan sekiranya
tarikh mengundi dibuat pada cuti hujung minggu.
Adun Alor Limbat itu berkata, walaupun Pas mungkin tidak menang
sekalipun pengundi luar pulang, sekurang-kurangnya mereka mampu
mengurangkan majoriti undi BN di Dun Kuala Besut.
Bagaimanapun katanya, Pas langsung tidak terkejut dengan majoriti undi
diperoleh calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, walaupun jumlahnya
meningkat berbanding PRU13 lalu.
“Dengan apa yang dibawa kepada rakyat Kuala Besut, sepatutnya BN
memperoleh majoriti yang lebih besar daripada itu tetapi apa yang
berlaku, peningkatan undi hanya berlaku sebanyak 158 undi sahaja.
“Bagi Pas, ia kekalahan yang bermaruah kerana peningkatan itu berlaku
sedikit sahaja daripada yang dijangka sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata, keputusan PRK Dun Kuala Besut itu juga turut menafikan
jangkaan pemimpin Umno sebelum ini yang juga Ketua Umno Bahagian Besut,
Datuk Seri Idris Jusoh untuk mendapat majoriti sebanyak 4,000 undi. - SH