Kedah Bakal Lahir Generasi Ulul Albab

SIK - Kerajaan negeri akan memberi penekanan kepada pembangunan ilmu pengetahuan, kemahiran dan modal intelektual dalam usaha melahirkan insan berkualiti di kawasan luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah berkata, ini termasuk ilmu sains, teknologi, keusahawanan, pembudayaan sikap progresif dan nilai etika serta moral tinggi.

Kata beliau, salah satu faktor yang menyebabkan kemiskinan luar bandar bukan hanya disebabkan kemiskinan fizikal semata-mata tetapi kerana kemiskinan minda.

"Kemiskinan minda dan sikap inilah yang menjurus kepada kemiskinan fizikal kerana insan tidak berupaya untuk berfikir mencari jalan keluar memajukan diri mereka," katanya.

Beliau berucap demikian dalam majlis penyampaian Anugerah Desa Cemerlang Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) peringkat negeri di Masjid Al-Falah, Jeneri di sini semalam.

Yang hadir sama Pengarah Kemas negeri, Kamaruddin Che Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Hamid.

Kampung Kuala Kerik di Jeneri dinobatkan sebagai johan pertandingan itu sekali gus membawa pulang wang tunai RM8,000 berserta sijil.

Kampung itu juga akan mewakili Kedah ke pertandingan peringkat kebangsaan dari 10 hingga 25 Ogos ini.

Dalam pada itu, Tajuddin berkata, program yang diadakan mampu merapatkan hubungan antara anggota masyarakat, pemimpin tempatan dan jabatan-jabatan kerajaan.

Usaha itu juga berupaya mewujudkan sikap saling membantu dan toleransi yang menjadi pemangkin kepada perpaduan dalam kalangan masyarakat.

"Apabila masyarakat bersatu maka mudahlah kerajaan merancang dan membawa kemajuan terutama kepada penduduk di luar bandar untuk keluar dari kepompong kemiskinan," katanya. - Utusan