Kedai Untung RM1 Sehari Lepas MDP Arah Pindah Kedai

PENDANG – 'Hasil jualan saya dapat hanya RM1 sehari, ada hari kadang-kadang tak dapat langsung,’ itulah situasi yang terpaksa dihadapi seorang peniaga kedai kasut yang terpaksa menanggung kerugian selepas diarah berpindah oleh Majlis Daerah Pendang (MDP) ke premis perniagaan lain tiga bulan lalu.

Tee Hong Lan, 48, berkata, dia bimbang melihat perniagaannya yang semakin merosot selepas berpindah dari Wisma Seri Pendang ke bangunan Seroja.

Menurutnya, sudah 10 tahun dia menjalankan perniagaan di Wisma Seri Pendang dengan memperoleh hasil jualan sebanyak RM300 sehari. Pendapatan bulanan pula boleh mencecah RM10,000.

“Saya diarah berpindah ke sini selepas bangunan perniagaan lama dijadikan pejabat pentadbiran MDP yang diubah suai menjadi Wisma MDP.

“Sejak berpindah tiga bulan di sini saya hampir menangis, kerana tiada pelanggan langsung yang datang,” katanya kepada Sinar Harian.

Hong Lan berkata, perniagaannya merosot teruk berpunca daripada laluan masuk ke kawasan itu dijadikan laluan sehala menyukarkan pelanggan berkunjung ke kawasan itu.

“Selain laluan sehala, masalah parkir juga terhad turut memberi kesan kepada rata-rata perniagaan di situ.

“Dulu bila Ramadan, saya akan buka kedai sampai lewat malam tetapi sekarang jam 5 petang kawasan ini sudah sunyi sehingga saya terpaksa tutup kedai,” katanya.

Dia berkata, selain kasut dia juga menambah beberapa barang-barang perniagaan lain seperti pakaian, makanan ringan dan pelbagai jenis permainan kanak-kanak untuk menarik pelanggan namun usaha itu dilihat tidak berhasil.

Keadaan itu menyebabkan dia bingung memikirkan bayaran sewa premis yang terpaksa dijelaskan setiap bulan sebanyak RM300.

“Sejak berpindah di sini saya masih lagi tidak dapat menjelaskan bayaran sewa kerana bagi saya bayaran sewa yang dikenakan adalah tinggi sedangkan ruang premis diberikan sempit.

“Saya tidak berpuas hati apabila bayaran sewa yang dikenakan terhadap saya RM300 sedangkan premis lain di kawasan itu dikenakan sebanyak RM100 sahaja,” katanya.

Ruang kedai yang sempit turut menyebabkan Hong Lan tidak dapat membuka semua barang-barang perniagaannya daripada kotak dan masalah itu turut dibincangkan oleh pihak berkenaan.

Katanya, ketika mula berpindah ke bangunan perniagaan baru dia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri memasang besi syiling ,lampu dan cat dengan jumlah keseluruhannya sebanyak RM3,000.

“Saya berharap agar pihak berkenaan dapat mencari jalan penyelesaian berhubung masalah ini. Saya juga difahamkan bukan perniagaan saya sahaja merosot tetapi banyak lagi perniagaan sekitar kawasan ini yang mengalami nasib yang sama,” katanya. -Sh