PENDANG 30 Julai - Ketua Syiah Kedah, Abdullah Hassan hari ini
membuat laporan polis kerana mendakwa menerima komen berunsur ugutan dan
ancaman bunuh terhadapnya yang dipaparkan menerusi akaun laman sosial
Facebook.
Dia yang ditemani beberapa pengikut fahaman itu membuat laporan
berkenaan di Balai Polis Pendang di sini kira-kira pukul 10.30 pagi.
Abdullah mendakwa, pemilik akaun Facebook menggunakan nama 'Muhd.
Amirur Roshid' telah berkongsi gambar dan maklumat dalam Facebook
'Gerakan Anti Syiah Malaysia' mengenai dirinya.
Katanya, beberapa komen yang dikongsi didapati berunsur ugutan dan
ancaman bunuh terhadapnya di samping berbentuk fitnah antaranya dengan
membayangkan seoalah-olah penganut Mazhab Syiah Imammiah di mana sahaja
adalah pengganas.
''Saya meminta polis menyiasat segera perkara ini kerana bimbang
mengenai keselamatan diri dan pusat aktiviti kami di Kampung Alor
Berala, Pendang,'' katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat
laporan polis berkenaan.
Sementara itu, Abdullah yang mendakwa terdapat kira-kira 3,000
pengikut fahaman Syiah Imammiah di seluruh negeri ini, menerima dengan
terbuka keputusan Kerajaan Kedah untuk mewartakan sekatan penyebaran
Syiah dalam usaha membendung penularan ajarannya. - UTUSAN