MELAKA - Seorang tukang urut orang kelainan upaya (OKU)
mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap
tiga pertuduhan melakukan kelucahan melampau ke atas dua pelajar lelaki
berumur 14 tahun dan seorang pelajar lelaki berumur 13 tahun.
Basri Hashim, 51, didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik
sebuah rumah di Jalan Sungai Udang di sini, masing-masing pada 9 pagi,
9.10 pagi dan 9.30 pagi, 23 Julai lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377E Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika
sabit kesalahan.
Majistret Syajaratudur Abd Rahman membenarkan tertuduh diikat jamin
RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 26
Ogos depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Nizam. - BERNAMA