Mukhriz Janji Amanah, Adil Dan Saksama


ALOR SETAR 27 Julai - Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang baharu berjanji akan menggalas kepercayaan diberikan kepimpinan tertinggi parti itu, dengan amanah, adil dan saksama.

Mukhriz berkata, beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan akan berusaha memastikan aspirasi dan perjuangan parti direalisasikan demi agama, bangsa dan tanah air. 

"Saya sedar bahawa tanggungjawab diamanahkan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti menuntut saya supaya melakukan yang terbaik dan dengan penuh dedikasi dalam menerajui UMNO negeri Kedah.

"Dengan rendah diri, saya mengharapkan kerjasama dan muafakat semua pihak, barisan anggota jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Kedah, sayap Pemuda, Wanita serta Puteri hingga di peringkat bahagian dan cawangan untuk sama-sama memperkasakan lagi UMNO," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Najib semalam mengenai pelantikannya sebagai Ketua Perhubungan Umno yang baharu, manakala Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai timbalan.

Mukhriz berkata, beliau percaya perkongsian dan penggemblengan pengalaman serta kepakaran dalam jentera Umno Kedah amat penting bagi memantapkan asas perjuangan parti iaitu, membela nasib rakyat.

Beliau berkata, kesinambungan gandingan yang sekian lama terjalin antaranya dengan Ahmad Bashah juga akan memperkukuhkan lagi setiap langkah serta tindakan yang diambil serta perancangan dibuat di peringkat negeri bagi menjamin UMNO kekal relevan dan efektif.

Katanya, UMNO Kedah akan meneruskan perjuangan terutama dalam menegakkan syiar Islam, memartabatkan bangsa serta membangunkan negara tercinta.

"Adalah diharapkan jentera UMNO yang kemas, tersusun dan efektif dapat melangkah sederap dengan jentera parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi mencapai agenda transformasi dan memenuhi aku janji BN Kedah dan pusat yang diikrarkan pada pilihan raya umum ke-13," katanya. - BERNAMA