ALOR SETAR 29 Julai - Felcra Berhad hari ini membayar dividen
terkumpul sebanyak RM33.15 juta untuk tempoh tiga tahun dari 2010 hingga
2012 kepada kerajaan negeri Kedah.
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir menerima cek pembayaran
itu daripada Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Ramlee Abu
Bakar di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman di sini.
Ramlee berkata, dividen tersebut adalah hasil pendapatan tanaman
getah membabitkan 13 projek seluas 2,280 hektar yang diusahakan Felcra
di enam daerah di Kedah.
"Dividen ini merupakan yang terbesar dibayar oleh Felcra Berhad
kepada kerajaan negeri sejak mengusahakan tanah tersebut lebih 20
tahun," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek itu.
Ramlee berkata, pembayaran itu merupakan yang kelima ditunaikan oleh
Felcra Berhad kepada kerajaan negeri dan jumlah keseluruhan adalah
RM45.35 juta.
Katanya, lapan projek membabitkan pokok getah berusia lebih 25 tahun
dan tidak lagi produktif sedang dalam proses untuk ditanam semula.
Mengenai tuntutan untuk mendapat hak milik 1,500 hektar dari 2,280
hektar tanah yang diusahakan itu, beliau berkata kerajaan negeri Kedah
masih menimbang permohonan Felcra Berhad.
Ramlee berkata, semua peserta rancangan Felcra Wilayah Utara (Kedah,
Pulau Pinang dan Perlis) telah menerima dividen untuk tahun 2012
berjumlah RM6.69 juta baru-baru ini.
Kedah merupakan penerima terbesar sebanyak RM4.2 juta membabitkan kira-kira 5,800 peserta, katanya. - BERNAMA