KUALA LUMPUR – Media dan pihak berkuasa
agama dinasihati supaya menghentikan segera apa jua publisiti mengenai
isu fahaman syiah yang semakin menular di negara ini.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar
berkata, laporan mengenai fahaman Syiah yang sedang hangat diperkatakan
media sebenarnya mendorong umat islam khususnya generasi muda untuk
terjebak dengan fahaman tersebut.
“Sebenarnya pendekatan yang dilakukan oleh media dan pihak berkuasa agama memberi publisiti kepada fahaman Syiah itu sendiri.
“Sesetengah orang yang tidak tahu
tentang fahaman tersebut mula ingin mengetahui mengenainya. Itu yang
membimbangkan saya,” kata Mahfuz.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok
Sena berkata, isu itu sepatutnya dibendung dengan cermat tanpa mendapat
sebarang publisiti daripada media.
“Saya setuju dengan cara pihak berkuasa
membendung fahaman Syiah di negara ini tetapi pendekatan yang dilakukan
perlu diperbaiki.
“Pihak berkuasa agama seharusnya
memanggil penganut Syiah untuk mengenal pasti penyebar fahaman tersebut
dan memperbetulkan kesilapan yang telah mereka lakukan, ” katanya.
Sementara itu, beliau turut melahirkan
rasa terkejut dengan dakwaan terdapat unsur fahaman Syiah dalam
kandungan buku teks pendidikan Islam.
“Saya fikir pendedahan itu amat
mengejutkan. Buku teks itu sendiri telah memberi publisiti dan menanam
fahaman syiah dikalangan pelajar,” katanya.
Pada masa sama, beliau meminta pihak berkuasa agama supaya membenarkan ahli ulama mengajar agama di masjid.
“Kadang-kadang ada sekatan…jadi ini yang
perlu dilakukan untuk menjelaskan kepada generasi muda mengenai soal
ahli sunnah wal jamaah,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat
Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya, pada Isnin tidak menafikan
terdapat unsur fahaman Syiah dalam kandungan buku teks pendidikan
Islam.
Beliau berkata, simptom tersebut dapat dikenal pasti melalui cerita yang dipaparkan dalam buku teks.
“Antara yang jelas ialah kritikan
terhadap Saidina Uthman yang dikatakan gagal memimpin dengan baik.
Sedangkan perkataan terhadap sahabat Nabi tidak boleh kasar kerana
Baginda melarang kita menghina para sahabat.
“Unsur-unsur ini dipaparkan menerusi
cerita. Saya dapati ia masuk sedikit demi sedikit dengan cara tersebut,”
katanya yang dipetik dari akhbar Sinar Harian. – mStar Online