KUALA LUMPUR 29 Julai - Pas hari ini menjelaskan
bahawa sehingga kini tiada bukti yang boleh mengaitkan Timbalan Presiden
Pas, Mohamad Sabu dan Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar sebagai
pengikut Syiah.
''Sehingga kini tiada bukti mereka menganut Syiah sebagaimana yang
dituduh,'' kata Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Utusan Malaysia melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini.
Sementara itu dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan semalam, Tuan
Ibrahim menegaskan semua ahli Pas mesti berpegang dengan fahaman Ahli
Sunnah Wal Jamaah.
''Jika ada yang menganut fahaman Syiah, maka secara automatik terkeluar daripada menjadi ahli Pas,'' katanya lagi.
Di dalam kenyataan tersebut, beliau turut menafikan penglibatan pimpinan utama Pas terlibat dengan ajaran Syiah.
Oleh itu katanya, Pas mengecam tindakan media arus perdana yang cuba memberikan bayangan sebaliknya.
''Tindakan tersebut lebih bersifat politik dengan menghalalkan
tuduhan tanpa bukti kukuh dan hanya bersandar kepada andaian semata
mata,'' ujarnya.
Kata beliau lagi, tindakan beberapa pimpinan parti yang mempunyai
hubungan peribadi dengan pimpinan Iran atau gerakan Islam Asia Barat
seperti Hizbullah bukan bermakna mereka pengikut Syiah.
''Jika begitu, bagaimana pula dengan mereka dan kerajaan yang mempunyai hubungan dengan Zionis Yahudi?'' soalnya.
Dalam kenyataan sama beliau berkata, Pas menentang sebarang usaha
untuk membawa fahaman Syiah ke negara ini kerana boleh menimbulkan
pelbagai polemik dan pertembungan masyarakat, sekali gus mendedahkan
negara kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam.
''Pas juga ada sistem pemantauan dalaman yang sentiasa aktif bagi
memastikan seluruh ahli parti tidak melanggar syarat tersebut dan kita
mengalu-alukan sebarang bukti yang melibatkan ahli dapat dikemukakan
kepada jawatankuasa disiplin parti,'' katanya lagi. - Utusan