Pelajar Miskin Terima "Durian Runtuh"

SUNGAI PETANI 27 Julai - Bank Rakyat Sungai Petani menyerah sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM50,000 kepada pelajar miskin di 77 sekolah rendah dan menengah di daerah Kuala Muda dalam majlis berbuka puasa di Hotel Park Avenue Sungai Petani, di sini baru-baru ini.

Penyerahan itu dilakukan oleh Ketua Wilayah Utara Bank Rakyat, Ahmad Mazlan A. Manaf kepada Pegawai Pelajaran Kuala Muda, Abdul Razak Mat.

Pengurus Cawangan Bank Rakyat Sungai Petani, Othman Shahid berkata, sumbangan zakat itu untuk diagihkan kepada pelajar di 54 sekolah rendah dan 23 sekolah menengah di daerah itu.

"Mereka yang menerima wang RM100 seorang itu adalah daripada keluarga susah, kita harap mereka ceria apabila menerimanya di sekolah masing-masing sedikit masa lagi," katanya.

Selain itu, kata beliau, pihaknya turut menyerah sumbangan RM2,000 kepada pihak pengurusan sebuah surau di Kampung Bendang Dalam, Jalan Bukit Pendiat, Bedong di sini, untuk membeli sistem audio untuk kegunaan surau itu.

Menurut Othman, pemberian zakat dikeluarkan setelah ada pihak mengemukakan permohonan kepada Bank Rakyat sebelum bulan Ramadan.

Sementara itu, Ahmad Mazlan berkata, Bank Rakyat di kawasan Utara tidak ketinggalan menjalankan Kempen Promosi Ria Aidilfitri yang berlangsung sejak 10 Julai lalu hingga 20 Ogos ini.

"Melalui kempen itu, mereka yang memohon mendapatkan pembiayaan peribadi, kenderaan dan perumahan akan mendapat beberapa hadiah menarik," katanya. - Utusan