Suami Biar Isteri Disoal Siasat Polis

KULIM - Gara-gara bimbang dicekup polis, seorang lelaki yang tinggal di Kuala Ketil sanggup membiarkan isterinya dibawa ke balai polis untuk disoal siasat kerana dipercayai memiliki kereta curi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kejadian berlaku apabila polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim mengadakan Ops Lejang diketuai Inspektor Nor Faizal Mohamad.

Ketika serbuan dibuat di rumah suspek, polis menemui kereta jenis Toyota dipercayai hilang di Taman Jati pada 18 September 2012 berada dalam kawasan rumah suspek.
"Setelah membuat pemeriksaan terhadap kenderaan terlibat, polis mengesahkan kereta itu masih dilaporkan hilang.

“Ketika itu kami diberitahu isteri suspek, yang suspek tiada di rumah. Kami menghubungi suspek dan mengarahkan dia balik bagaimanapun dia enggan berbuat demikian.

"Kami memaklumkan isteri suspek bahawa kereta digunakan mereka sekeluarga selama ini adalah kereta curi. Dia terkejut, namun dia pula yang sanggup beri kerjasama, dibawa ke balai polis untuk disoal siasat,” katanya kepada Sinar Harian.

Ghuzlan berkata, sebelum ini seorang mekanik yang tinggal di Taman Jati meletakkan kereta ibunya di luar pagar rumah dan kali terakhir kereta itu dilihat pada 17 September 2012 kira-kira jam 12 malam sebelum ia dilaporkan hilang.

Jiran mangsa memaklumkan kepada polis, empat lelaki tidak dikenali, dilihat berlegar-legar di sekitar kawasan rumah mangsa sebelum melarikan kereta berkenaan.  - SH