Tak Sempat Kebas Kereta...

KULIM - Niat lima lelaki untuk melarikan sebuah kereta di Taman Gemilang di sini, awal pagi semalam, tidak kesampaian apabila polis yang sedang membuat rondaan cegah jenayah terserempak dengan kereta jenis Proton Wira digunakan suspek.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi apabila polis menerima maklumat orang awam terdapat sebuah kereta dilihat dalam keadaan mencurigakan masuk ke kawasan taman perumahan itu.

Menurutnya, semua suspek memakai topeng dan berjaya mengumpil sebuah kereta namun perbuatan mereka itu dilihat penduduk.

“Suspek kemudiannya cuba melarikan diri menggunakan jalan belakang taman, namun terperangkap apabila polis mula menutup jalan masuk ke taman perumahan itu.

“Saya percaya suspek bukan penduduk di kawasan Lunas atau Kulim kerana Taman Gemilang menggunakan jalan yang sama untuk keluar dan masuk,” katanya.

Ghuzlan berkata, polis bersama ahli Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) yang membuat pemantauan di kawasan perumahan ternampak kereta digunakan suspek dan cuba mengejar penjenayah terbabit.

Katanya, suspek yang cemas apabila memasuki jalan mati cuba memanjat pagar besi setinggi dua meter sebelum melarikan diri ke kawasan belukar di kawasan taman itu.

Dari semakan dibuat terhadap kenderaan digunakan suspek, polis mendapati ia dimiliki seorang lelaki yang tinggal di Pulau Pinang.

Polis telah mengenal pasti suspek terlibat berdasarkan beberapa dokumen ditemui di dalam kereta digunakan suspek.