PENDANG: Dua sahabat maut apabila motosikal mereka
bergesel dengan sebuah motosikal lain mengakibatkan mereka terjatuh
sebelum dilanggar sebuah kereta di Kilometer 72.3 Lebuhraya
Utara-Selatan arah utara, dekat sini, Sabtu.
Kemalangan pada jam 9.30 pagi itu menyebabkan Muhammad Mohd Rozi, 19,
dan Muhammad Ekhromee Muhammad Fauzi, 19, mati di tempat kejadian.
Menurut ibu Muhammad, Kalsom Kassim, 55, anaknya menaiki motosikal
bersama Muhammad Ekhromee dan motosikal mereka itu bergesel dengan
motosikal ditunggang Muhammad Fairuzi Musa, 19.
"Pergeselan itu menyebabkan kedua-dua motosikal terbabas. Muhammad
dan Muhammad Ekhromee terjatuh lalu dilanggar sebuah kereta yang
mengikut dari belakang," katanya semasa ditemui di Hospital Sultanah
Bahiyah (HSB), di sini.
Muhammad Fairuzi pula hanya cedera ringan dan dirawat di HSB.
Kalsom berkata, anaknya dan Muhammad Ekhromee dalam perjalanan ke HSB
untuk melawat ibu rakan mereka yang sakit sejak tiga hari lalu. - BERNAMA