PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengesan terdapat
250,000 pengikut Syiah di negara ini dengan 10 kumpulan dikenal pasti
bergerak aktif.
Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata,
jika 10 tahun dahulu mereka cuma terdiri komuniti kecil dan mempunyai
tiga buah markas sahaja, tetapi kini markas mereka hampir di seluruh
negeri.
“Perkembangan teknolgi maklumat antara faktor memudahkan
pergerakan kumpulan berkenaan menyebarkan fahaman apatah lagi orang
ramai mudah untuk akses kepada pelbagai bentuk laman sosial dan media
sosial,” katanya di sini hari ini.
Syiah diwartakan haram oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 5 Mei 1996.
Penularan fahaman Syiah kian membimbangkan kerana ia boleh membawa
kepada perpecahan di kalangan umat Islam.
Abdul Rahim berkata, usaha untuk memerangi dan membanteras pergerakan
Syiah secara total perlu dilaksanakan secara bersepadu dan tidak boleh
dipertanggungjawabkan kepada satu agensi sahaja.
“Di pihak KDN misalnya dari segi keselamatan menerusi Polis Diraja
Malaysia, Pendaftar Pertubuhan (ROS), kawalan bahan penerbitan menerusi
Akta Percetakan dan Penerbitan, pengeluaran cakera padat (CD) dan Cakera
Padat Digital (DVD) menerusi Lembaga Penapisan Filem sementara
kemasukan pihak luar menerusi Jabatan Imigresen,” katanya.
Daripada aspek akidah pula, Abdul Rahim berkata ia di bawah bidang
kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), media sosial (Kementerian
Komunikasi dan Multimedia), hubungan luar (Kementerian Luar) dan
institusi pengajian tinggi (Kementerian Pendidikan).
Berhubung tangkapan, beliau berkata dua tangkapan pernah dibuat
sebelum ini iaitu pada 1996 di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) dan
pada 2012 oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Dalam tangkapan oleh JAIS itu seramai 200 pengikut ditahan, namun
dibebaskan apabila terdapat masalah teknikal dari segi perundangan
ketika pendakwaan dijalankan,” katanya.
Mengenai tindakan mengharamkan buku dan bahan penerbitan pula,
katanya, setakat ini sepuluh judul buku telah diharamkan antaranya
Pengantar Ilmu-Ilmu Islam, Dialog Sunnah Syiah dan Tafsir Sufi Al
Fatihah Mukadimah yang didapati mengandungi bahan-bahan bercanggah
dengan ajaran dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Buku Tokoh-Tokoh Terkemuka Ahlul Bait Nabi (Jilid tiga dan Jilid
empat), yang antara kandungannya mendakwa Saidina sebagai penerus
syariah selepas wafat Rasulullah yang berhubung dengan konsep Imamiah
dalam fahaman Syiah.
Ditanya sama ada kumpulan itu dipergunakan sesetengah pihak untuk
mewujudkan keadaan tidak tenang, beliau tidak menolak kemungkinan
tersebut kerana sudah menjadi satu kelaziman bila sesuatu isu atau
masalah berlaku ada pihak yang cuba ‘menangguk di air keruh’ atau
mengambil kesempatan.
Namun, katanya, KDN senantiasa memantau keadaan termasuk kemungkinan
terdapat pengikut kumpulan tersebut yang terbabit dengan kegiatan
militan.
Mengenai status warta mengenai ajaran Syiah dan Pengharaman (Enakmen
Anti-Syariah) di negeri-negeri, beliau berkata setakat ini 10 negeri
telah mewartakan ajaran Syiah bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal
Jamaah, manakala empat negeri (Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak)
masih dalam proses pewartaan. – BERNAMA