SUNGAI PETANI - Lebih 50,000 orang dijangka membanjiri
Dataran Zero, Jam Besar di sini Jumaat ini sempena majlis Pelancaran
Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan 2013.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan
Pembasmian Kemiskinan Kedah, Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, ini
adalah kali pertama Kedah dipilih sebagai tuan rumah majlis berkenaan.
Beliau yakin majlis itu yang bermula dari 3 petang hingga lewat
malam, bukan sekadar dihadiri penduduk sekitar bandar ini malah rakyat
dari seluruh Kedah dan negeri di utara tanah air.
"Ini kali pertama kali kerajaan Persekutuan pilih Kedah sebagai tuan
rumah apatah lagi selepas kita menjadi kerajaan baharu. Saya seru kepada
semua rakyat untuk datang ke sini bagi menyatakan sokongan dan
tunjukkan semangat cintakan negara," katanya kepada pemberita selepas
melihat persiapan menjelang majlis itu hari ini.
Majlis itu dijangka disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 9 malam Jumaat ini. - UTUSAN