Balik Raya: Penumpang jadi "spy" JPJ

Menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memintas kenderaan lain di garisan berkembar merupakan antara kesalahan yang sering dilakukan pemandu bas ekspres sekali gus membahayakan nyawa penumpang.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Datuk Hassan Yaacob berkata, kesalahan terbabit dikesan oleh penguat kuasa yang menyamar sebagai penumpang.

“Bermula dari 25 sehingga 31 Julai lalu, sebanyak tujuh saman dikeluarkan serta-merta atas kesalahan yang dinyatakan.

“Empat penguat kuasa akan menaiki bas ekspres ke mana-mana destinasi yang dipilih secara rawak sepanjang Ops Hari Raya Aidilfitri bagi memudahkan pemantauan terhadap pemandu bas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di terminal bas sementara di Butterworth, semalam.

Hassan berkata, seramai 180 penguat kuasa terlibat dalam operasi yang bermula sehingga 18 Ogos ini.

Menurutnya, pemantauan bas-bas ekspres di terminal turut dijalankan sebelum mulanya operasi dan sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 221 bas diperiksa di terminal ini dan Sungai Nibong.

“Dijangkakan lebih 1,000 ‘trip’ perjalanan bas ekspres yang akan dijalankan bagi menampung keperluan kira-kira 40,000 penumpang sempena musim perayaan.

“Justeru itu, keselamatan kenderaan yang menepati spesifikasi mesti dititik beratkan untuk mengelakkan kemalangan,” katanya.

Sebanyak lima laluan utama yang kerap berlaku kemalangan turut dipantau sepanjang operasi iaitu Laluan Butterworth-Ipoh (hadapan SP Valdor), Butterworth-Sungai Petani (hadapan SP Penaga), Jalan Machang Bubuk (berdekatan Taman Machang Manis), Jalan Sungai Dua dan Jalan Tun Sardon-Balik Pulau.

Beliau berkata, Ops Khas Motosikal turut akan dilaksanakan bagi memastikan penunggang motosikal turut mengikuti peraturan yang ditetapkan.

“Kami akan berada di mana-mana lokasi yang ditetapkan malah penyamaran turut akan dijalankan di sekitar persimpangan lampu isyarat untuk memantau sikap pemandu.

“Sesiapa sahaja yang melanggar undang-undang seperti mengekori kenderaan terlalu dekat dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu akan dikenakan tindakan,” katanya. -sh