Beza ulama dulu dan sekarang...

Khalifah Harun ar-Rasyid kelihatan gembira selepas mendengar hujah Imam Syafie. Baginda terbuka hati untuk membebaskan beliau. Beliau diberi penghormatan untuk duduk di samping baginda

Baginda kemudian meminta Imam Syafie memberikan pendapat dan nasihat berkaitan beberapa masalah berkaitan dengan ayat al-Quran.

Imam Syafie memberikan pendapat bernas dan selepas itu beliau dibebaskan daripada segala tuduhan. Khalifah Harun cuba memberikan hadiah kepada Imam Syafie sebanyak dua dinar, tetapi beliau menolaknya dengan baik.

Tindakan itu menguatkan lagi kebenaran Imam Syafie bahawa segala tuduhan yang dilemparkan ke atasnya adalah palsu belaka. Sebenarnya Imam Syafie seorang lelaki yang tampan. Badannya tinggi serta lehernya jinjang. Warna kulitnya pula kemerah-merahan. Beliau seorang yang kemas kerana sentiasa berpakaian bersih, fasih berkomunikasi dan banyak membuat kebaikan. 

Sifatnya sempurna, menjaga tutur kata, berbudi pekerti mulia, bersopan-santun dan sangat disukai ramai. Tash Kubra Zadah dalam kitabnya Miftah as-Sa’adah berkata: 
“Ulama daripada kalangan ahli fiqah, usul, hadis, bahasa, tata bahasa dan lainnya sepakat mengenai amanah, adil, zahid, warak, takwa, pemurah, baik tingkah laku dan tinggi budi pekerti yang wujud dalam diri Imam Syafie.” 
Imam Syafie tidak suka ucapan tidak baik terhadap sesama manusia. Pernah suatu hari, ada seorang mengeluarkan perkataan kotor terhadap seorang alim dan beliau menegur orang itu dengan katanya:
“Bersihkanlah pendengaranmu daripada mendengar perkataan yang keji, sebagaimana engkau membersihkan lidahmu daripada mengeluarkan perkataan keji dan kotor.

“Seseorang yang hodoh dan keji selalu menumpahkan kekejiannya itu untuk mengisi kebersihanmu. Jika engkau jawab dengan kekejian pula, engkau akan berbuat keji sebagaimana perbuatan orang yang keji itu.” 
Beliau juga seorang yang menjaga maruah. Yahya bin Ma’in pernah berkata: 
“Jika dusta itu harus, nescaya tentulah Syafie menahan daripada berdusta kerana menjaga maruah.”
Mengenai kehidupan berkeluarga, dikatakan Imam Syafie berkahwin dengan Hamidah binti Nafi’ bin Anbasah bin Amr bin Uthman bin Affan. 

Daripada perkahwinan ini beliau dikurniakan tiga anak, seorang putera dan dua puteri iaitu Abu Uthman Muhammad, menjadi kadi di bandar Halab, Syria manakala puterinya, Fatimah dan Zainab.

Beliau memakai sebentuk cincin yang tertulis padanya “Cukuplah Allah sebagai kepercayaan bagi Muhammad bin Idris.” Imam Syafie gemar mengembara dari satu tempat ke tempat lain.

Selain Yaman dan Makkah, beliau pernah mengunjungi Kufah, Basrah, Baghdad dan Mesir.
Pengembaraan beliau membantu meningkatkan ilmu. 

Malah, ia juga memberi peluang kepada beliau mengikuti perbahasan dan pertukaran fikiran dengan ulama lain antaranya ulama mutakallimin, falsafah, fiqah dan hadis. Itulah antara faktor membentuk ilmu pengetahuan Imam Syafie. Beliau berkata: 
“Sesiapa mempelajari al-Quran, maka tinggilah ilmunya. Sesiapa yang menulis hadis, kuat dan kukuhlah hujahnya. Sesiapa yang berbincang mengenai hukum fiqah, maka dia menjadi bijak. 

‘Sesiapa yang mengambil berat mengenai adab dan budi pekerti, maka budi bahasanya menjadi lembut dan halus. Sesiapa yang memikirkan mengenai ilmu kira-kira (matematik) akalnya akan berkembang dan sesiapa yang tidak menjaga kehormatan dirinya, ilmunya tidak akan memberi suatu faedah.”
Guru beliau ramai sama ada di Makkah, Madinah mahupun di Yaman. Di Mesir antara gurunya ialah seorang wanita bernama Sayidah Nafisah binti Hasan bin Zaid bin Hasan bin Ali. 

Ketokohan gurunya itu dikatakan mengalahkan ulama lelaki. Imam Syafie amat mengagumi gurunya itu, lebih-lebih lagi beliau sangat alim dan berketurunan Rasulullah SAW. Beliau belajar dengan guru wanitanya itu dari belakang tabir, bukan secara mendepani muka.