Derita ibu muda di Baling

*hiasan
Baling: Seorang ibu muda terpaksa melupakan seketika kemeriahan Aidilfitri bakal tiba berikutan penyakit dihidapi membataskan pergerakannya selain sukar melakukan aktiviti seperti memasak atau membasuh.

Malah, Noorjamiyah Ismail, 23, dari Kampung Parit Panjang, dekat sini, terpaksa menanggung kesakitan setiap kali diserang penyakit itu secara tiba-tiba.

“Saya mula menghidap penyakit ini sejak awal tahun lalu iaitu selepas lebih dua tahun melahirkan anak sulung.

“Pada mulanya, saya hanya menganggap sakit perut biasa kerana ketika itu tiada ketumbuhan dilihat di perut,” katanya ketika menerima lawatan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Sungai Petani diketuai Presidennya Kapten (B) Satar Saad, di sini, semalam.

Menurut Noorjamiyah, dari semasa ke semasa kesakitan akibat penyakit itu tidak dapat ditanggungnya lagi dan segera meminta bantuan suaminya, Mohd Amri Ismail, 30, seorang bekas tentera tidak berpencen merujuknya ke hospital.

Katanya, penyakit itu bukan saja menyukarkan pergerakan, malah ada ketika begitu menyakitkan seolah-olah ditusuk kayu tajam.

“Malah, ketika tidur saya terpaksa meletak alas ketumbuhan di perut di atas bantal bagi mengurangkan kesakitan.

“Saya dan suami sudah mencuba pelbagai rawatan moden atau tradisional bagi menyembuhkan penyakit ini, namun masih tidak berjaya,” katanya.

Dia kini mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani dan Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar bergilir-gilir sejak setahun lalu dengan kekerapan rawatan empat kali sebulan dengan kos lebih RM400.

“Doktor memaklumkan saya mengalami hernia (angin pasang) yang mengakibatkan ketumbuhan itu begitu ketara kelihatan di perut.

“Bagi melakukan pembedahan, saya memerlukan lebih RM2,000 namun tidak mampu kerana kesempitan hidup,” katanya.

Sementara itu, Satar berkata, PBTM Cawangan Sungai Petani akan berusaha mengumpul dana diperlukan bagi memudahkan Noorjamiyah melakukan pembedahan seterusnya menyembuhkan penyakitnya.

“Bagaimanapun kami juga mengharapkan simpati penderma luar sudi meringankan beban keluarga ini dengan menghubungi talian 014-2456556 (Noorjamiyah) atau 014-2456566 (Mohd Amri),” katanya.