Fara atau nama sebenarnya Farah Fauzana Mohd Fadzil, 33, berkata, dia
akan membawa seluruh keluarganya itu ke sebuah hutan sebagai aktiviti
riadah sambil melakukan pelbagai aktiviti yang telah pun dirancangnya.
"Saya rancang membuat perjumpaan bercuti di dalam hutan pula. Selain
itu, saya juga bercadang mahu menjemput kawan-kawan rapat pada aktiviti
itu nanti.
"Macam-macam aktiviti boleh dilakukan pada acara itu seperti barbeku,
mandi sungai, sambil makan dan minum kami boleh berborak-borak panjang
bertanya khabar masing-masing.
"Mungkin kami akan bercuti beramai-ramai pada sambutan Hari Raya minggu kedua," katanya.
Tambah anak kelahiran Shah Alam, Selangor itu, aktiviti bercuti
bersama keluarga sudah menjadi amalan dan perkara wajib yang harus
dibuat bagi mengeratkan lagi hubungan mereka.
"Memang sejak dari dahulu lagi saya akan menjadi pengurus acara
dengan memanggil seluruh keluarga untuk berkumpul dan merancang bercuti
ke mana-mana setiap kali sambutan raya.
"Contohnya sebelum ini, kami pernah berkumpul di Port Dickson, Negeri
Sembilan sambil menginap di sana. Malah, empat tahun lalu kami juga
telah ke London (United Kingdom).
"Lebih seronok ketika itu, adik saya yang bekerja di Philadelphia
(Amerika Syarikat) turut terbang ke London dan beraya bersama-sama kami
di sana," ujarnya. -Mstar