HANGAT..!!! Jangan halang kami amal Syiah - Abdullah Hassan

Pendang: “Kami menyokong tindakan kerajaan negeri mewartakan fatwa anti Syiah bagi mengekang penyebaran ajaran Syiah di negeri ini, tetapi jangan halang kami daripada mengamalkan ajaran itu,” kata Ketua Syiah Kedah Abdullah Hassan, 66.

Menurutnya, pihaknya menyambut baik langkah Menteri Besar Datuk Mukhriz Mahathir mengumumkan untuk mewartakan fatwa anti Syiah di kalangan rakyat terutama umat Islam berfahaman ahli sunnah di negeri ini.

“Bukan kami yang menyebarkan fahaman berkenaan, sebaliknya orang ramai yang datang kepada kami untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan fahaman Syiah.

“Jangan tuduh kami Syiah yang kembangkan ajaran ini. Kita tak kembang kecuali orang itu datang sendiri,” katanya selepas membuat laporan berhubung ugutan bunuh dalam laman sosial Facebook yang diterimanya di IPD Pendang, di sini, semalam.

Difahamkan, terdapat kira-kira 3,000 pengikut Syiah di Alor Setar, Jitra, Sungai Petani dan juga daerah ini.