Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memutuskan penerbitan klip
video '1 Hari di Hari Raya' yang menggambarkan Hari Raya umat Islam
boleh diraikan bersama anjing adalah tindakan menghina Islam dan
perbuatan tidak bertanggungjawab.
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata pemilik video itu
secara jelas menghina pegangan dan sensitiviti umat Islam di Malaysia
yang berpegang kepada Mazhab Shafie bahawa umat Islam tidak boleh
memegang atau menyentuh anjing atau keturunannya di mana jika tersentuh
wajib disertu.
Katanya takbir Hari Raya yang turut dijadikan muzik latar dalam video
itu, juga merupakan satu tindakan penghinaan kerana takbir itu
merupakan satu lafaz suci dalam memuji dan membesarkan Allah sedangkan
pemilik video melakukan agenda yang sangat menyentuh sensitiviti umat
Islam di Malaysia.
"Penerbitan video tersebut tidak sepatutnya dilakukan oleh orang
Islam yang menghormati perasaan beragama seorang Islam yang lain.
"Tindakan pemilik video itu seolah-olah memperlekeh dan mencabar
pegangan umat Islam yang selalunya dilakukan dalam bentuk provokasi oleh
segelintir orang bukan Islam," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.
Othman berkata satu laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat
pada Rabu lalu dan kini Jakim sedang menyiapkan satu laporan untuk
dikemukakan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(SKMM) bagi membuat tindakan susulan.
Maznah Mohd Yusof, 38, yang dikenali sebagai Chetz menjadi sasaran
kritikan selepas video itu yang memaparkan dirinya bersama tiga ekor
anjing tiga tahun lepas telah dimuat naik di YouTube baru-baru ini.
Wanita itu dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat, Johor, hari ini atas bon jaminan mahkamah. -BERNAMA