"Jangan ingkar titah Tuanku" - Mufti Kedah

Alor Setar: “Jangan ingkar titah Tuanku Sultan (Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah). Baginda sudah bertitah hanya pegangan Ahli Sunah Waljamaah saja dibenarkan untuk diamalkan di negeri ini dan tiada mana-mana fahaman lain boleh berbuat demikian.” 

Demikian peringatan Mufti Kedah Datuk Syeikh Baderuddin Ahmad berhubung kenyataan Ketua Syiah Kedah Abdullah Hassan, 66, yang mendesak kerajaan negeri tidak melarang mereka mengamalkan ajaran itu biarpun pada mulanya menyokong usaha mewartakan fatwa anti-Syiah.

Katanya, Sultan Kedah yang juga ketua agama Islam negeri sudah bertitah secara jelas bahawa hanya pegangan Ahli Sunah Waljamaah saja dibenarkan di negeri itu.

“Saya ingatkan golongan itu supaya tidak ingkar dengan titah yang dikeluarkan Tuanku Sultan. Mereka boleh mengamalkan fahaman atau ajaran terbabit, tetapi ia harus dipraktikkan di tempat lain dan bukannya di Kedah kerana ia akan menimbulkan kesan negatif.

“Contohnya, cara pengambilan wuduk oleh ahli Sunni (Ahli Sunah Waljamaah) dan Syiah adalah berbeza dan jika mereka dibenarkan mengamalkan ajaran itu di sini, maka akan menimbulkan kekeliruan sehingga memecahbelahkan perpaduan umat Islam,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, semalam.

Syeikh Baderuddin berkata, mereka boleh mempraktikkan ajaran itu di negara lain seperti Iran, namun ia dilarang sama sekali diamalkan di negara ini khususnya Kedah.

Katanya, beliau berharap golongan berkenaan dapat mengambil iktibar daripada pergolakan dan krisis dalaman yang berlaku di negara luar.