SUNGAI PETANI - Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir sependapat dengan pelbagai pihak bahawa filem The New Village tidak wajar ditayangkan jika ia mengagung-agungkan Parti Komunis Malaya (PKM).
Filem itu perlu disekat dan ditentang, sebaliknya filem seperti Tanda Putera, yang merupakan sejarah sebenar, patut dipertontonkan, katanya.
"Filem ini (Tanda Putera) perlu dihayati, khususnya dalam
kalangan golongan muda, sebagai menghargai jasa dan pengorbanan anggota
keselamatan yang berjuang mempertahankan tanah air," katanya semasa
berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Kem Lapangan
Terbang, dekat sini malam tadi.
Mengenai sambutan Hari Pahlawan hari ini, Mukhriz berharap agar
rakyat mengenang dan menghargai pengorbanan serta khidmat bakti anggota
keselamatan yang berperanan sebagai benteng pertahanan, menjaga keamanan
serta kedaulatan tanah air.
"Peristiwa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, menyedarkan kita bahawa
keamanan yang dikecapi sejak sekian lama tidak boleh dipandang enteng,
diambil mudah. Mujur kita mempunyai pasukan keselamatan yang cekap,
bersemangat waja, sentiasa bersedia untuk berdepan dengan musuh tanpa
rasa gentar dan sanggup berjuang hingga ke titisan darah terakhir,"
katanya.
Beliau berkata, walaupun ada suara-suara sumbang yang memperlekeh
perjuangan anggota keselamatan di Lahad Datu, baginya itu hanya suara
golongan yang tidak tahu bersyukur dan tidak pandai berterima kasih.
"Rakyat amat terhutang budi dan menyanjungi jasa dan pengorbanan
anggota tentera dan bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan terima
kasih atas khidmat wira-wira kita," katanya. - BERNAMA