SUNGAI PETANI - Rakyat pelbagai kaum di
negara ini dinasihatkan agar mengibarkan Jalur Gemilang termasuk di
rumah sendiri sebagai tanda semangat patriotik terhadap negara dalam
diri masing-masing.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman
berkata, tema Hari Kemerdekaan tahun ini ialah "Malaysiaku Berdaulat,
Tanah Tumpah Darahku" perlu dihayati sepenuhnya oleh segenap lapisan
rakyat.
Kata beliau, pelbagai aktiviti boleh dilakukan untuk menjayakan Hari
Kemerdekaan kali ini termasuk mengibarkan Jalur Gemilang di rumah
masing-masing.
"Apabila masyarakat mempunyai kesedaran untuk mengibarkan Jalur
Gemilang, mereka dengan sendirinya sudah ada semangat patriotik,"
katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara Pelepasan Konvoi
Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah di Pejabat Penerangan Daerah
Kuala Muda di sini hari ini.
Sebanyak 15 buah kenderaan Jabatan Penerangan negeri digunakan dan
kakitangan turut bergerak ke kampung-kampung untuk mengajak orang ramai
sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang itu.
Menurut Ibrahim, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga berperanan untuk menjayakan kempen mengibarkan Jalur Gemilang.
Beliau juga meminta penduduk di negeri ini, Perlis, Perak dan Pulau
Pinang supaya datang menyaksikan pelbagai acara menarik sempena Majlis
Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di
Dataran Zero Sungai Petani, Jumaat ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar,
Pembasmian Kemiskinan dan Penerangan negeri, Datuk Mohd. Tajudin
Abdullah pula berharap semua acara yang disusun berjalan dengan lancar. -Utusan