Sahabat Nabi SAW adalah golongan yang mulia. Mereka banyak berkorban
harta dan nyawa demi agama Allah. Oleh kerana itu, mereka sangat
dikasihi Allah dan sentiasa mendapat pertolongan daripada-Nya.
Saidina Abu Bakar misalnya, satu ketika dikunjungi tiga tetamu.
Bagi menghormati mereka, beliau berniat memberikan jamuan makan
sekadarnya. Beliau ke belakang menemui isterinya, namun beliau kecewa
kerana makan yang disediakan pada hari itu sedikit.
Beliau yakin,
jamuannya itu tidak akan mencukupi untuk dimakan tiga tetamu.
Tiba-tiba di hati beliau timbul satu keyakinan bahawa Allah jualah yang
memberi rezeki kepada hamba-Nya. “Dengan nama Allah, semoga makanan yang
sedikit ini boleh mencukupi.”
Beliau menjemput tetamunya itu untuk
makan dengan jumlah makanan yang sangat sedikit. Tapi, makanan itu tidak
habis, meskipun mereka menambah beberapa kali. Semuanya menjadi hairan.
Itulah keramat, suatu keajaiban yang terjadi di rumah Abu Bakar.
Kemudian beliau menemui Nabi SAW dan menceritakan peristiwa luar biasa
itu. Beliau mengatakan makanan yang sedikit itu cukup untuk menjamu
tetamunya, bahkan masih ada bakinya. Sahabat lain kemudian
beramai-ramai ke rumah beliau dan turut sama menikmati juadah berkenaan.
Semuanya berasa kenyang, namun makanan itu tidak habis juga.
Demikian juga keramat ke atas Khalid al-Walid ketika memimpin tentera Muslimin di Perang Hira.
Beliau dan beberapa sahabat lain berehat di satu tempat, sambil
berbual-bual. Seorang sahabat bertanya: “Wahai Khalid! Tidak tahukah
engkau racun yang diperangkapkan oleh musuhmu?” Jawab Khalid: “Racun
dipasang musuh? Aku tak takut kerana kematian itu di tangan Allah. Mana
minuman yang dipasang racun oleh mereka?”
Sahabat mengambil minuman
yang ditemui sewaktu pertempuran. Minuman itu sengaja dibuat pihak
musuh. Di dalamnya mengandungi racun. Khalid membaca basmalah dan
meneguk minuman itu, namun beliau tetap segar, tidak mengalami
kesakitan.