Kejam! Kanak-kanak perempuan 2 jam diseksa bapa


Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun terpaksa menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila didera bapa kandungnya sendiri selama hampir dua jam dalam kejadian di rumah mereka di Sentul Utama, di sini, hanya kerana menghilangkan sebatang pensel warna.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, kanak-kanak malang terbabit dilaporkan dirotan, dicekik, disepak sebelum dipijak di bahagian perut. Tidak cukup dengan itu, mangsa turut ditumbuk sebelum kepalanya dibotakkan bapanya berusia 30-an itu.

Menurut sumber, akibat perbuatan keji si bapa, kanak-kanak terbabit bukan sekadar trauma sebaliknya mengalami kecederaan serius di tangan kiri, paha kanan dan kepala.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber itu berkata, kejadian berkenaan dilaporkan di Balai Polis Sentul, di sini, semalam, oleh guru kaunseling sekolah kanak-kanak terbabit selepas mangsa menceritakan kejadian menimpanya kepada guru kelasnya.

“Mangsa yang datang ke sekolah dalam keadaan lebam di muka menceritakan kejadian itu kepada guru kelasnya sebelum kanak-kanak itu dibawa ke balai polis berhampiran,” katanya.

Sumber berkata, kanak-kanak terbabit mendakwa dipukul bapanya di ruang tamu rumah mereka di Sentul Utama, di sini.

“Suspek dilaporkan berang apabila anak perempuannya itu (mangsa) menghilangkan sebatang pensel warna dibelinya,” katanya.

Katanya, lelaki terbabit dilapor bukan sekadar merotan mangsa, sebaliknya mencekik, menyepak dan memijak perut anaknya itu.

“Lebih kejam, suspek turut menumbuk kepala berulang kali sebelum membotakkan kepala anak perempuannya itu,” katanya.

Sumber itu berkata, kanak-kanak terbabit dilaporkan didera suspek hampir dua jam.

“Lelaki itu dilaporkan hanya berhenti mendera anaknya selepas melihat mangsa dalam keadaan lemah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan memberitahu siasatan dilakukan. -Metro